Calon menunggu ujian memandu cecah ratusan ribu

Calon menunggu ujian memandu cecah ratusan ribu

ANTHONY Loke beramah mesra dengan pengusaha pusat latihan memandu selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-3 Persatuan itu di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengatasi isu lambakan calon ujian memandu di Institut Memandu (IM) di seluruh negara yang kini dikatakan mencecah ratusan ribu calon.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, isu lambakan itu berlaku akibat penutupan IM susulan negara dilanda pandemik Covid-19 sebelum ini.

Beliau berkata, pasukan petugas khas yang diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu akan mencari kaedah mengatasi lambakan calon ujian memandu sekali gus mempercepatkan urusan mendapatkan lesen.

“Saya dimaklumkan, ramai mengadu bahawa mereka terpaksa menunggu lama (untuk dapatkan lesen), jadi saya turut minta Bahagian Darat, Kementerian Pengangkutan untuk lihat apa cara untuk percepat proses.

“JPJ akan mengemukakan beberapa cadangan sebelum keputusan akhir dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-3 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia di sini hari ini.

Katanya, lambakan calon ujian memandu perlu diatasi segera memandangkan kira-kira 600,000 calon mengikuti kursus dan ujian memandu di IM setiap tahun.

Pada masa sama, Loke berkata, IM juga perlu memastikan peserta atau pelajar yang berdaftar dapat lulus ujian secepat mungkin selain melengkapi mereka dengan kemahiran dan pemanduan berhemah.

Mengenai cadangan membenarkan IM mengendalikan ujian KPP01 berkomputer untuk mendapatkan lesen pula, Loke berkata, JPJ sedang merangka satu prosedur operasi standard (SOP) untuk menjaga integriti dan ketelusan ujian tersebut.

“Saya ada bincang dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara ini dan bincang kenapa MOT sebelum ini tidak teruskan cadangan benarkan ujian itu.

“Ada kebimbangan (SPRM) kalau ujian dibenarkan mungkin terdapatkan kelonggaran atau kebocoran maklumat, perkara itu kita perlu imbangkan dan saya hormati pandangan daripada SPRM itu,” katanya.

Katanya, beliau berharap dasar-dasar penambahbaikan tersebut dapat sedikit sebanyak membantu industri IM menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya