Bicara Siti Nordiana diawal ke Okttober ini

Bicara Siti Nordiana diawal ke Okttober ini

SITI NORDIANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman fitnah penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias terhadap lima individu termasuk dua rakan seperjuangannya iaitu Lan Solo dan Syura yang sebelum ini ditetapkan untuk perbicaraan pada tahun depan diawalkan ke Oktober ini.

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 hari untuk perbicaraan tersebut yang membabitkan tarikh 3,4 dan 5 Oktober, 7, 8, 9, 28, 29 dan 30 November serta 5, 6 dan 7 Disember ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili pelantun lagi Memori Berkasih itu ketika dihubungi media hari ini.

Prosiding hari ini dijalankan secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Syalia Ain Zainuddin.

Pada 30 Julai 2021, Siti Nordiana memfailkan saman dengan menamakan Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36, dan isterinya Nur Sheila Hassim, 36, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 35, selaku defendan pertama hingga ketiga.

Turut dinamakan sebagai Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, (defendan keempat) serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, (defendan kelima).

Kes itu pada mulanya dibicarakan di Mahkamah Sesyen namun dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 3 Januari lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun Youtube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Siti Nordiana mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun Youtube dijangka bertambah dan reputasi beliau telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.

Plaintif mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu, beliau melalui peguamnya menyerahkan Notis Tuntutan melalui serahan tangan dan emel kepada kesemua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam selain ganti rugi sebanyak RM200,000 namun mereka gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, Siti Nordiana menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook, secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.

Justeru beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya