Bertanding secara anak jantan - Sanusi

Bertanding secara anak jantan – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Semua pihak digesa untuk mengamalkan sepenuhnya prinsip demokrasi di negara ini sepanjang tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga ke hari pengundian dan pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, mana-mana parti termasuk Perikatan Nasional (PN) perlu menggunakan kapasiti dan kekuatan sendiri tanpa perlu menyalahgunakan aset kerajaan sepanjang berkempen.

“Bertanding secara anak jantan, jangan cakap lain buat lain. Jangan guna harta kerajaan untuk kempen, jangan guna dana kerajaan untuk kempen, jangan guna agensi kerajaan untuk kempen dan jangan guna jabatan kerajaan untuk kempen.

“Saya telah mohon Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah menggariskan perkara-perkara yang boleh dilaksanakan sepanjang menjadi kerajaan interim (selepas DUN bubar) dan kita arahkan semua Exco pulangkan kenderaan rasmi pada hari pembubaran kerana mahu sepanjang mereka berkempen tak guna harta kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, sebentar tadi.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, harapan sama juga dizahirkan kepada parti-parti lain yang akan bertanding pada PRN tersebut bagi memastikan prinsip demokrasi benar-benar diamalkan.

“Kalau ada lori yang dibeli sebagai harta kerajaan parking dahulu. Selepas itu (kalau menang) dilantik jadi Exco ambil lah semula,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan tarikh cadangan untuk mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah masih 25 Jun seperti yang dirancang untuk memohon perkenan baginda bagi membubarkan DUN Kedah.

“Saya akan umum tarikh (bubar) selepas Tuanku perkenan. Ada orang umum sebelum Tuanku perkenan, tak boleh begitu. Cuma saya cadang kita mengadap 25 Jun untuk nak cadang tarikh bubar (28 Jun), kalau Tuanku perkenan saya akan umumkan,” katanya.

Menyentuh calon-calon PN yang akan diketengahkan bagi mewakili gabungan itu, Muhammad Sanusi berkata, senarai nama bagi calon Pas kini sedang diteliti oleh Majlis Syura Ulama dengan setiap DUN diberikan tiga ke empat nama individu yang berpotensi.

“Ada penyandang menyatakan hasrat tidak mahu bertanding lagi termasuk calon-calon dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas kerana orang Pas ini tawadhu, tak boleh tawar diri.

“Jadi kalau tidak dipilih tidak datang beban. Ada juga calon-calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sudah menjadi Ahli Parlimen pun kata tak mahu bertanding DUN agar dapat memberi laluan kepada orang lain,” katanya.

Namun, menurut Muhammad Sanusi, hak untuk seseorang menjadi calon atau tidak bukan terletak kepada diri masing-masing, sebaliknya keputusan itu berada di bawah bidang kuasa parti.

“Etika kita begitu, kalau parti kata awak bertanding (maka) awak kena bertanding. Contohnya kalau Pas putuskan (untuk bertanding), satu kewajipan untuk dia (termasuk yang kata tak mahu bertanding) kerana keputusan jemaah merupakan amanah yang perlu dipikul,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN