‘Berkorban segalanya demi abang kembar’ - Utusan Malaysia

‘Berkorban segalanya demi abang kembar’

SHAMIL Ahmad (kanan) mengusap kepala kembarnya, Shamrin yang terlantar sambil diperhatikan ibu mereka, Che Rohyana Manap semasa ditemui di Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda di Sungai Petani. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kasih terhadap kembarnya yang terlantar sakit membuatkan seorang lelaki sanggup membujang selain tidak menyesal berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi menjaga kebajikan insan disa­yanginya itu.

Shamil Ahmad, 29, berkata, dia memilih untuk tidak memikirkan soal berumah tangga kerana ingin memberi sepenuh perhatian menjaga kembarnya, Shamrin berikutan abangnya yang dilahirkan selang beberapa minit awal tidak berpeluang menikmati hidup sepertinya.

Kata Shamil yang tinggal di Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda di sini, mereka berdua dilahirkan tidak cukup bulan dan terpaksa ditempatkan di hospital dalam tempoh yang lama kerana mengalami pelbagai komplikasi penyakit.

“Bagaimanapun sepanjang proses tumbesaran saya disahkan sihat manakala Shamrin dikesan menghidap sawan, pendarahan otak dan buta. Sejak itu saya membesar sendirian manakala kembar saya alami kecacatan kekal, badannya kejang dan terlantar serta perlukan perhatian rapi sepanjang masa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Shamil, ketika kecil dia tidak terasa kesukaran kerana ibu, Che Rohyana Manap, 68, serta bapa, Ahmad Omar, 69, mampu mengurus kembarnya sambil dibantu lima abang, dua kakak dan seorang adik perempuan.

“Namun selepas abang, kakak berumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri, saya mengambil alih tugas menjaga kembar sehingga kini ditambah pula ibu bapa kami yang kurang bertenaga kerana faktor umur.

“Rutin saya selepas habis bekerja sebagai buruh setiap hari adalah memandikan Shamrin, memberi makan dan membawanya mendapatkan rawatan ke hospital terdekat jika pe­nyakit sawannya menyerang,” katanya.

Kata Shamil, sejak kebelakangan ini keadaan kesihatan kembarnya itu semakin merosot apabila pernafasannya tersekat ekoran kahak dikesan meme­nuhi bahagian dalaman tubuh­nya.

“Kami disaran membeli me­sin khas menyedut kahak tetapi masalah kewangan menjadi punca utama kerana bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 di bawah kategori orang kurang upaya (OKU) terlantar sekadar cukup untuk lampin pakai buang, susu khas dan makanan bijirin.

“Pendapatan saya sebagai buruh hanya bergaji hari manakala bapa tidak lagi bekerja sebagai nelayan menyebabkan kami sedih kerana gagal menyediakan mesin berkenaan untuk kegunaannya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0212429828238025 atas nama Che Rohyana Manap atau meng­hubungi, 019-4843359. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN