Bawa isu lebih besar, bukan terpencil - Cuepacs - Utusan Malaysia

Bawa isu lebih besar, bukan terpencil – Cuepacs

JURURAWAT merupakan jentera penting dalam sektor perkhidmatan kesihatan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap semua ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membawa isu yang lebih besar dan membawa manfaat kepada kebajikan penjawat awam berbanding isu terpencil.

Presidennya, Adnan Mat berkata, terdapat banyak isu-isu berkaitan kebaikan dan tekanan kos sara hidup dihadapi oleh seluruh penjawat awam, di mana ia perlu diketengahkan berbanding masalah-masalah terpencil.

Menurut beliau, kod pakaian jururawat yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam dibuat berdasarkan garis panduan yang sentiasa ditambah baik iaitu pemakaian seluar panjang dengan baju berlengan panjang ketika ini adalah amat sopan dan menutup aurat.

“Ketika ini jururawat di seluruh negara berhadapan dengan beban tugas yang berat dengan ada dalam kalangan mereka terpaksa bertugas melebih norma waktu disebabkan kekurangan petugas.

“Hal ini perlu menjadi keutamaan semua pihak terutama dalam memastikan kebajikan penjawat awam ini dijaga dan dalam masa yang sama dapat memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Parlimen Kuantan daripada Perikatan Nasional (PN), Wan Razali Wan Nor mempersoal etika pemakaian jururawat wanita yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah. 

Ketika membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, beliau mendakwa, kebanyakan jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.

Lantaran itu, Wan Razali menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk golongan profesional dan juga pemimpin politik daripada parti lain.

Adnan berkata, rekaan pakaian jururawat tersebut adalah untuk memudahkan pergerakan petugas kesihatan itu melaksanakan tanggungjawabnya yang sentiasa memerlukan pergerakan fizikal.

“Soal pakaian ketat tersebut adalah lebih kepada individu dan tidak menggambarkan keseluruhan jururawat dalam perkhidmatan awam.

“Dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab kepada ketua jabatan untuk membuat teguran dan memastikan etika pemakaian kakitangan masing-masing mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Adnan turut berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dapat memastikan kualiti kain yang diberikan berkualiti tinggi dan seragam untuk semua negeri.

“Maklum balas diterima oleh Cuepacs menyatakan kualiti kain tidak sama antara petugas di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sedangkan mereka daripada kementerian yang sama.

“Hal ini perlu diberikan penekanan tegas kepada pembekal yang mendapat kontrak perbekalan. Begitu juga bayaran upah jahitan perlulah dibuat penambahbaikan dengan membuat pembayaran bersekali dengan perbekalan kain,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN