KOTA TINGGI: Ada pihak di blok Barat yang menggunakan waris keturunan Sulu untuk menuntut wang dari negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tuntutan tidak masuk akal itu dibuat terhadap syarikat-syarikat di negara ini yang didakwa hak mereka.
Katanya, disebabkan itu kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar tuntutan tersebut dilawan secara berhabis-habisan bagi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
“Kali ini saya beritahu peguam kita di sana kalau mereka kalah di mana-mana negara, kita tuntut kos supaya dia bayar balik ganti rugi kos kita. Saya betul-betul pantang, jangan dia pandang kecil kepada negara Asia, terutama negara Melayu Islam, jangan dipandang kecil,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Pelaksanaan Projek dan Lawatan Tapak Mahkamah Pengerang di Bandar Penawar, di sini, semalam.
Terdahulu, kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Mereka membawa perkara tersebut kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara, Dr. Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).
Keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg. Malaysia kemudiannya menggunakan semua remedi undang-undang yang ada untuk membatalkan dua anugerah yang diberi oleh Stampa.
Penuntut Sulu kemudiannya meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan final award walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia.
Dalam pada itu, Azalina yang merupakan Ahli Parlimen Pengerang mendedahkan peguam waris Sulu ada menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun baru-baru ini.
“Peguam mereka tulis satu surat yang begitu biadap kepada Peguam Negara dan saya dimaklumkan Tan Sri Idrus sudah jawab.
“Mereka masih berdegil dan pegang pada faktor mereka mempunyai hak bukan sahaja kepada Sabah, tetapi ada hak ke atas tuntutan supaya Malaysia bayar AS$14 bilion campur faedah kepada AS$16 bilion.
“Itu sebab saya kata ini tahap lagi dahsyat daripada biadap, betul kurang ajar sebab tidak hormati kedaulatan negara. Ini bukan syarikat, Malaysia sebuah negara, kalau sebuah negara tuntutan jajahan ialah di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bukan mahkamah timbang tara komersial,” katanya. – UTUSAN










