Anwar harus malu pada Sanusi - Pas - Utusan Malaysia

Anwar harus malu pada Sanusi – Pas

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus berasa malu dengan Kerajaan Negeri Kedah kerana boleh bertindak adil dalam memberi peruntukan kepada seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, pimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dapat memberi peruntukan secara adil tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang, tanpa meletakkan syarat.

Menurut beliau, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu perlu mengikuti Muhammad Sanusi kerana masih lagi tidak terbuka untuk melakukan perkara yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Inilah keadilan, keterbukaan dan berjiwa besarnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah dalam memberi khidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik serta kaum mahupun agama.

“Ia satu tamparan hebat kepada kerajaan Madani PH-UMNO pimpinan Perdana Menteri ke-10 yang sehingga kini tidak memberikan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan Kedah, Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeneri mengumumkan peruntukan untuk pembangkang setahun RM50,000 dan RM2,000 setiap bulan untuk pengurusan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR).

Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, jangan sampai kesemua ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuk ke dalam laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kerana tidak mendapat keadilan.

“Pas ingin mengingatkan kerajaan Madani PH-UMNO agar jangan sampai ahli-ahli Parlimen ini termasuk ke dalam laporan Suhakam sebagai individu yang tidak mendapat hak asasi mereka sebagai wakil rakyat yang sah dipilih oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya