KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyelar dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa UMNO tidak seteruk kini jika Putrajaya membubarkan Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Ismail Sabri berkata, pandangan tersebut hanya sekadar logik akal tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada Barisan Nasional (BN).
“PRN tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menentukan kejayaan BN dalam PRU. Keadaan politik negara amat dinamik. PRN dan PRU adalah dua perkara yang amat berbeza. PRN lebih tertumpu kepada isu negeri khususnya prestasi kerajaan yang mentadbir negeri pada ketika itu.
“PRU melibatkan isu nasional. Apatah lagi persepsi terhadap BN secara keseluruhannya masih tidak baik ketika itu. Inilah punca sebenar kekekalahan BN kerana mempunyai bekas Setiausaha Agung UMNO yang hanya sekadar boleh membuat andaian mudah berlandaskan logik akalnya sahaja tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahmad berkata, kedudukan UMNO tidak akan seteruk sekarang jika ‘Putrajaya’ mengikuti keputusan dicapai bersama dengan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lebih awal sejurus selepas parti itu melakar kemenangan melalui PRN Melaka dan Johor.
Ahmad berkata, memandangkan masa yang tepat sangat penting dalam politik terutama bagi memastikan parti boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
Malah, Ahmad turut mengakui gelombang serta semangat parti pasca kemenangan dalam PRN Johor dan Melaka begitu kuat, malah ketika itu juga bekas Presiden UMN0, Datuk Seri Najib Razak, masih dapat membantu parti untuk menang.
Bagaimanapun, jelas Ismail Sabri lagi, beliau ketika menjadi Perdana Menteri mendapat laporan daripada pelbagai agensi yang menunjukkan suasana pada ketika itu BN masih tidak mampu untuk menang.
“Semasa itu, ekonomi sedang dalam proses pemulihan selepas kita terjejas teruk akibat Pandemik Covid-19. Sepatutnya proses pemulihan diteruskan bukan dengan membubarkan Parlimen.
“Usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat telah mula menunjukkan hasil. Buktinya, ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022, terbaik di rantau Asia Tenggara malah antara yang tertinggi di dunia tetapi usaha itu tidak dapat diteruskan kerana desakan berterusan supaya Parlimen dibubarkan,” ujarnya.
Berikutan itu, Ismail Sabri terus mempersoal, adakah terdapat kajian sikap secara komprehensif telah dilakukan sebelum membuat unjuran tersebut.
Ini kerana akhirnya jelas Ismail Sabri lagi, BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat.
“Kerana yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU-15,” jelasnya. – UTUSAN










