Anak saudara Sivarasa, bekas pekerja bebas tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Anak saudara Sivarasa, bekas pekerja bebas tuduhan rasuah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak saudara kepada bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa dan bekas pekerjanya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tiga pertuduhan rasuah berkaitan laporan kemasukan pekerja asing kepada pihak Imigresen, enam tahun lalu.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu setelah Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat memaklumkan bahawa pihaknya menarik balik pertuduhan terhadap R. Naveen Kularasa, 51, dan bekas pekerja Sivarasa, Nico Kam Joo Hoe, 24.

Noralis berkata, representasi untuk menggugurkan pertuduhan yang dihantar oleh kedua-duanya diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kes ini telah ditetapkan untuk perbicaraan pada minggu hadapan namun terdapat perkembangan baharu di mana representasi untuk menggugurkan pertuduhan yang dihantar kedua-dua tertuduh diterima oleh AGC.

“Oleh itu pihak pendakwaan memohon untuk menarik balik pertuduhan dan melepaskan tanpa membebaskan kedua-dua tertuduh,” katanya.

Peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Nico dan M. Puravalen yang mewakili Naveen bagaimanapun memohon anak guam mereka dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Pihak pembelaan memohon mahkamah mempertimbang bahawa aduan kes itu dibuat sudah lama iaitu pada 2017 dan adalah tidak munasabah untuk membiarkan kedua-dua tertuduh dibelenggu pertuduhan sekiranya pendakwaan menukar fikiran.

“Kes sepatutnya diselesaikan pada peringkat ini. Pihak pendakwaan juga tidak memberikan sebarang alasan mengapa kedua-dua tertuduh tidak harus dilepas dan dibebaskan,” kata Ramesh.

Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, Azura kemudian melepas dan membebaskan Naveen dan Nico dan memerintahkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dikembalikan kepada penjamin.

Pada 24 Januari 2022, Naveen dan Nico didakwa bersama-sama meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada warga Bangladesh, Mono Miah Siddikur Rahman.

Wang itu sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada Imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn. Bhd. milik individu itu yang dikatakan membawa masuk pekerja asing menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua lelaki itu didakwa bersetuju menerima bagi diri mereka wang tunai RM45,000 dan menerima wang tunai RM20,000 daripada pemilik syarikat sama melalui Nico berhubung perkara sama.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah restoran di Cheras dan di sekitar ibu negara pada 1 petang dan 10 malam, antara 17 dan 21 September 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya