KOTA BHARU: Amalan membaca tiga surah iaitu surah Al Kahfi, Ar Rahman dan Al Waqiah menjadi rahsia kejayaan seorang anak yatim untuk mencapai keputusan cemerlang 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Mohd. Jamaluddin Hafizi, 18, yang merupakan pelajar Sekolah Maahad Tahfiz Sains Tok Guru, Pengkalan Chepa di sini berkata, selain itu, dia juga bangun pada pukul 3 pagi untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran setiap hari.
Menurutnya, kejayaan memperoleh 12 A merupakan hadiah untuk arwah bapanya yang meninggal dunia akibat darah tinggi lima tahun lalu.
“Saya dibesarkan bersama lima lagi adik-beradik sepenuhnya oleh ibu, Siti Hanum Zulkifli, 47, sejak arwah bapa tiada.
“Kecekalan ibu membesarkan kami enam beradik membuatkan saya tekad untuk terus belajar dan mencapai kejayaan bagi masa depan yang lebih baik kelak,” katanya ketika Utusan Malaysia di Maahad Tahfiz Sains Tok Guru di sini hari ini.
Mohd. Jamaluddin merupakan antara enam pelajar terbaik sekolah itu di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Maahad Tahfiz Sains Tok Guru turut dinobatkan sebagai sekolah terbaik YIK dengan pencapaian nilai purata Gred Purata Sekolah (GPS) 2.40 untuk SPM 2022.
Mengulas lanjut, Mohd. Jamaluddin memberitahu, dia berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).-UTUSAN