GUA MUSANG: Lebih 100 keluarga masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq dan Bateq di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini mendakwa pendapatan terjejas susulan aktiviti 3P iaitu perlombongan, perladangan dan pembalakan berhampiran penempatan mereka sehingga menyebabkan hasil hutan yang menjadi sumber utama ekonomi menyusut.
Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail mendakwa, susulan aktiviti 3P itu, mereka terpaksa keluar dari penempatan untuk ke kawasan hutan yang terletak bersempadan negeri Kelantan dan Terengganu sejauh lebih 100 kilometer (km).
“Sejak tahun 70-an, hutan di kawasan Kampung Pasir Linggi menjadi lubuk rezeki bagi penduduk untuk mencari sumber hutan seperti rotan, kayu gaharu, ubatan herba dan madu tualang.
“Kini kami dapati hasil semakin berkurangan menyebabkan sebahagian besar penduduk sudah berhenti melakukan kerja memungut hasil hutan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Harun memberitahu, ekoran itu, penduduk kini beralih mengusahakan tanaman sara diri dan melakukan pekerjaan menoreh getah bagi menampung pendapatan keluarga.
Katanya, mereka bersyukur apabila pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyediakan tanaman getah sebagai sumber ekonomi mereka.
Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Ayun Abdul Rahman, 35, pula berkata, kebanyakan penduduk berhenti melakukan kerja termasuk mencari madu tualang selepas acap kali pulang ke rumah dengan tangan kosong.
Katanya, penduduk Orang Asli menganggap kerja mencari hasil hutan tidak lagi memberi sebarang keuntungan.
“Kebanyakan penduduk juga telah beralih melakukan kerja yang memberi pulangan lain seperti bercucuk tanam dan menoreh getah,” ujarnya.
“Jika dahulu hutan umpama pasar raya bagi Orang Asli apabila boleh mendapatkan segala keperluan makanan. Bagaimanapun kami melihat aktiviti penerokaan tanah menyebabkan sumber penting kami kini terancam dan semakin pupus,” katanya. – UTUSAN










