KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beliau sempat bertemu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Penjara Kajang.
Di hadapan lebih 6,000 perwakilan, Ahmad Zahid berkata, beliau bersarapan bersama dengan bekas Perdana Menteri itu dengan membawa makanan kegemaran Najib di samping berbual-bual dalam tempoh lebih sejam .
Bagaimanapun beliau tidak berhasrat berkongsi kandungan perbualan tersebut.
“Saya sempat bersarapan dengan beliau, saya bawa makanan kegemaran untuk makan bersama, sekarang beliau meneruskan PHD di penjara.
“Saya pergi ke Penjara Kajang, bawa Timbalan Menteri Dalam Negeri, selepas tempoh setengah jam, saya bertemu bersemuka satu jam lebih, (tetapi) tidak perlu berkongsi (hasil perbualan).
“Namun komitmen Majlis Tertinggi selepas mendapat mandat ahli komited untuk bela agar beliau diberikan keadilan,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau pasti akan muncul banyak pemimpin berkaliber seperti Najib meskipun bekas Presiden UMNO itu telah dipenjara.
“Saya menghargai ketiga-tiga anak beliau iaitu Datuk Mohd Nizar, Datuk Mohd Nazifuddin dan Nooryana Najwa kerana semua menjadi pemimpin UMNO.
“Seorang dipenjara, maka muncul lagi tiga lagi di Dewan Merdeka. Insya-Allah bukan setakat tiu, di atas pentas ini banyak lagi Najib muncul untuk meneruskan perjuangan,” katanya. UTUSAN