PETALING JAYA: Kira-kira 20 peratus daripada 403,637 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dijangka menyertai ekonomi gig dengan menjadi penghantar p-hailing di pelbagai syarikat.
Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani berkata, peningkatan tersebut berpunca daripada tekanan ekonomi secara berterusan yang dihadapi oleh lepasan sekolah itu.
Menurut beliau, sebahagian daripada lepasan SPM itu juga memilih menjadi penghantar makanan sementara menunggu keputusan Unit Pusat Universiti (UPU) bagi permohonan melanjutkan pelajaran ke universiti.
“Melihat kepada keadaan semasa, saya pasti akan ada peningkatan sekitar 20 peratus dalam pendaftaran p-hailing,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia,
Katanya, kini lepasan sekolah menjadikan ekonomi gig sebagai pekerjaan sementara mereka sebelum sama ada menyambung pengajian ke universiti atau terus kekal dalam pasaran pekerjaan.
“Kita tidak tahu bagaimana mereka terpaksa bergelut menghadapi tekanan kewangan sehingga enggan menyambung pelajaran.
“Memang menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menyambung pelajaran, tetapi lepasan SPM mungkin sedar kesukaran yang dihadapi oleh keluarga mereka,” ujarnya.
1 Jun lalu akhbar ini melaporkan, lebih 458,000 lepasan SPM dianggarkan tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun lalu sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan belia negara ini.
Statistik menunjukkan sebanyak 35.16 peratus atau 115,939 orang lepasan SPM 2020 dan 48.74 peratus atau 180,680 lepasan peperiksaan 2021 tidak melanjutkan pelajaran.
Antara faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut adalah ketidakmampuan sebahagian lepasan sekolah menanggung kos pengajian di universiti selain beranggapan gaji graduan juga hampir sama dengan yang tidak menyambung pengajian.
Sementara itu, Abdul Hakim berkata, pihaknya sedia maklum mengenai rintihan daripada pihak universiti mahupun ibu bapa tentang penglibatan lepasan sekolah sebagai p-hailing, namun pihaknya tidak boleh menghalang sekiranya mereka memilih untuk berada dalam ekonomi gig. – UTUSAN










