ISKANDAR PUTERI: Cubaan menyeludup masuk beras sebanyak 10 tan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) gagal apabila Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan sebuah lori di laluan kenderaan import di kompleks berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari, semalam.
MAQIS dalam kenyataan berkata, pemeriksaan dijalankan menemukan 10 guni besar berisi beras yang memuatkan kira-kira 1 tan untuk setiap guni.
“Pemeriksaan dibuat mendapati kesemua beras tersebut dibawa masuk tanpa diikrarkan serta tidak mempunyai sebarang dokumen sah.
“Untuk rekod, kemasukan beras import ke dalam negara dikawal melalui kelulusan AP import oleh Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras,” katanya di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, pemandu lori yang berusia 32 tahun telah dilepaskan setelah keterangannya diambil bagi membantu siasatan yang dijalankan.
“Sementara itu, kesemua beras yang dianggarkan berharga RM50,000 telah dirampas dan akan diserah kepada Pihak Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut.
“Pihak MAQIS komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian agar mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan,” tambahnya. – UTUSAN