YBR taja 25 pelajar terbaik matrikulasi setiap tahun

YBR taja 25 pelajar terbaik matrikulasi setiap tahun

YAYASAN Bank Rakyat diwakili Syaiful Rizal Abdul Ghani memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kementerian Pendidikan yang diwakili Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menaja 25 pelajar terbaik matrikulasi setiap tahun dengan setiap seorang menerima penajaan biasiswa pendidikan berjumlah RM47,000.

Biasiswa pendidikan untuk pelajar yang terpilih itu meliputi elaun sara diri, elaun buku, pemberian komputer riba serta peruntukan Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebagai persediaan untuk memulakan semester baharu.

Inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada Program Penajaan Biasiswa YBR yang memperuntukkan sejumlah RM4.7 juta untuk membiaya biasiswa bagi 100 pelajar cemerlang lepasan matrikulasi.

Program ini dijayakan menerusi kerjasama antara YBR dengan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan (BMKPM) yang memeterai satu memorandum persefahaman (MoU), dengan jalinan kerjasama selama empat tahun bermula dari 2022 sehingga 2025.

Memorandum ini telah ditandatangani bersama oleh Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali serta disaksikan Pengarah Bahagian Matrikulasi, Dr. Rosnarizah Abdul Halim.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak menjelaskan, kerjasama ini bertujuan bagi membuka peluang kepada pelajar cemerlang khususnya yang memperolehi keputusan cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda selepas menamatkan program matrikulasi.

“Usaha antara YBR dan BMKPM ini juga diharapkan menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada pelajar yang cemerlang untuk terus berjaya di dalam dalam pendidikan serta sedikit sebanyak menyumbang kepada generasi muda yang berkaliber,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, penajaan pelajar ini turut memandang dari aspek pembangunan modal insan negara yang mampan serta menunjukkan komitmen yang diberikan oleh YBR dan BMKPM demi membantu pelajar yang cemerlang dan tidak berkemampuan dapat mengorak langkah ke hadapan tanpa sebarang masalah kewangan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani menyifatkan kerjasama ini dilihat banyak memberi manfaat kerana pelajar berpotensi menjadi prospek sumber tenaga kerja mahir apabila menamatkan pengajian serta bertepatan dengan visi dan objektif penubuhan YBR iaitu membantu masyarakat yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan.

Syaiful Rizal yang juga bekas pelajar dari Matrikulasi berharap kerjasama ini dapat menjadi suntikan semangat buat pelajar-pelajar cemerlang matrikulasi dari keluarga B40 melangkah jauh dalam bidang yang diceburi dapat membantu meningkatkan ekonomi keluarga pelajar tersebut.

Sejak tahun lalu, seramai 7,045 pelajar telah ditawarkan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM17.39 juta. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya