Wujudkan MoU Kerajaan Perpaduan-pembangkang - Utusan Malaysia

Wujudkan MoU Kerajaan Perpaduan-pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Perpaduan dan pembangkang perlu dimeterai bagi mengukuhkan lagi kestabilan politik di negara ini, seterusnya mengembalikan kredibiliti negara yang terjejas.

Ini bagi menjawab segala spekulasi dan dakwaan bahawa masih terdapat cubaan atau gerakan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, walaupun kerajaan ini sudah dibentuk sejak enam bulan lalu.

Terbaharu Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong tampil menafikan penglibatan beliau dan partinya dalam sebarang komplot untuk menggulingkan kerajaan.

Malah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menjatuhkan kerajaan, menyebabkan beliau disiasat pihak polis bulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan menyifatkan, walaupun ada sesetengah pihak menganggap dakwaan menjatuhkan kerajaan sebagai spekulasi, ia seharusnya diambil serius oleh semua.

Ini kerana katanya, ia sesuatu yang tidak mustahil berlaku, berdasarkan situasi politik negara yang berubah-ubah dalam tempoh kurang lima tahun ke­belakangan ini.

“Oleh kerana terdapat ura-ura untuk menjatuhkan kerajaan walaupun ia cara yang sah dari segi undang-undang sekalipun, tapi dalam keadaan sekarang, kita tidak mahu melihat episod Langkah Sheraton berulang sekali lagi.

“Kalau itulah keadaannya, maka Kerajaan Perpaduan tidak dapat menumpukan perhatian tugas hakikinya termasuk menteri-menterinya, jadi dalam konteks MoU antara Kerajaan Perpaduan dan pembangkang perlu supaya tidak timbul ura-ura menjatuhkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam wawancara khas Ming­guan Malaysia bersama Tan Sri Syed Hamid Albar, bekas Menteri Luar itu menempelak pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada sehingga mencetuskan kemelut politik berpanjangan.

Malah beliau menegaskan kedudukan Malaysia di pe­ringkat antarabangsa dilihat semakin terpencil ekoran kemelut politik sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lagi.

Mengulas lanjut Azmi berkata, MoU sudah terbukti keberkesanannya menerusi MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dua tahun lalu.

Justeru katanya, Anwar mam­pu melakukan perkara yang sama namun pihak pembangkang perlu berjiwa besar dalam memastikan kestabilan politik dapat dicapai.

“Anwar perlu tumpukan perhatian dalam urus tadbir negara, tetapi hakikatnya sudah pasti pembangkang tidak mahu mengadakan MoU yang menjurus kepada tidak menjatuhkan kerajaan.

“Bagaimanapun, pembangkang perlu menjalankan tugas­nya sebagai pembangkang, bukan untuk jadi kerajaan kerana kerajaan telah dibentuk. Bukan mudah nak bentuk kerajaan sehingga Yang di-Pertuan Agong terpaksa campur tangan.

“Kalau nak jatuhkan kerajaan walaupun sah ikut undang-undang, itu sesuatu yang rakyat tidak mahu melihat iaitu episod sama sekali lagi, maka MoU perlu dilaksanakan dan ditunaikan oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Malah, MoU itu juga dilihat mampu menyelesaikan isu peruntukan Ahli Parlimen pembangkang, apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengatakan beliau masih belum menerima sebarang permohonan rasmi bagi membincangkan perkara itu.

Katanya, kerajaan terdahulu ada membuat rundingan de­ngan pembangkang dan sebarang isu diselesaikan melalui MoU. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya