UMNO sokong DAP memang logiklah - Anthony Loke  

Parlimen: UMNO sokong DAP memang logiklah – Anthony Loke  

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: DAP menyifatkan saranan UMNO supaya pengundi parti itu memberi sokongan kepada calon DAP pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri nanti sebagai munasabah dan masuk akal. 

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebagai parti yang bekerjasama dalam kerajaan di peringkat Persekutuan, sudah pasti memerlukan sokongan antara satu sama lain. 

Katanya, saranan yang disuarakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya pengundi UMNO menyokong calon DAP tidak wajar dijadikan isu, kerana ia adalah gambaran kepada pengukuhan kerjasama dalam gabungan kerajaan. 

“Ini kenyataan logik. Apabila kita bekerjasama, sudah tentu rakan dalam kerjasama akan saling menyokong. Sama juga pemimpin DAP semasa kempen PRN nanti. Kita akan meminta ahli mengundi calon UMNO khususnya.

“Sudah tentu bila kita kerjasama dalam satu gabungan, kita mesti sokong antara satu sama lain kerana kita tidak bertanding menentang sesama sendiri. Kita pastinya berterima kasih kepada Ahmad Maslan kerana membantu kita,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Jumaat lalu, Ahmad dilaporkan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya negeri tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.

Katanya, meskipun calon yang bertanding daripada DAP, namun ia mewakili gabungan Kerajaan Perpaduan dan harus diterima susulan perubahan politik ketika ini. 

Menyahut seruan itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching baru-baru ini turut berkata, ahli dan penyokong DAP turut digesa memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO. 

Katanya, DAP perlu mengetepikan sebarang perbezaan yang mungkin wujud sebelum ini sebaliknya melihat kepada masa depan lebih baik.

Tidak senang dengan kenyataan itu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, tindakan Ahmad menggesa ahli partinya supaya memberi sokongan kepada DAP sebagai ‘luar biasa’.

Katanya, itulah kali pertama beliau mendengar pemimpin parti terbabit meminta anggota parti menyokong DAP selama hampir 40 tahun dia berada dalam UMNO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN