Tidak perlu tergesa-gesa adakan pemilihan semula

Tidak perlu tergesa-gesa adakan pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru

MOHD. HAIRI MAD SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguhkan sejak 18 Mac lalu tidak perlu diadakan semula dalam keadaan tergesa-gesa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Hairi Mad Shah yang juga merupakan calon Ketua Bahagian berkata, hal itu kerana perkara tersebut tidak menjejaskan mana-mana pihak sama ada peringkat cawangan, bahagian, negeri mahupun Pusat.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan soal tarikh pemilihan semula kepada penyelaras yang diberi tanggungjawab iaitu UMNO negeri pimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Walaupun saya mempunyai jawatan selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, namun saya tetap menghormati institusi yang diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan pemilihan semula, jadi tidak perlu buat kenyataan awal berhubung perkara itu.

“Saya percaya dengan kewibawaan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang baharu dilantik untuk menentukan tarikh dan masa yang sesuai untuk pemilihan bahagian diadakan semula.

“Tidak perlu tergesa-gesa kerana ia tidak jejaskan operasi parti, termasuklah peringkat Pusat hanya kerana satu bahagian tertangguh, malahan Pemangku Ketua Bahagian iaitu Tan Sri Shahrir Abdul Samad juga menjalankan tanggungjawab beliau dengan baik ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi melakukan lawatan ke Kampung Melayu Majidee, di sini hari ini yang dilanda kejadian ribut, semalam.

Mohd. Hairi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor turut memberitahu, beliau kini fokus kepada tanggungjawab selaku wakil rakyat dan juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Buat masa ini, saya fokus kepada tugas menyantuni rakyat dan bukan berkempen, namun setelah diumumkan tarikh baharu pemilihan, saya akan tawarkan diri sebagai calon ketua bahagian. Jadi terpulang kepada kebijaksanaan perwakilan untuk melantik individu yang boleh mengangkat suara akar umbi ke peringkat negeri dan juga peringkat Pusat.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, saya memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dengan majoriti lebih enam ribu undi, jadi saya yakin perwakilan UMNO di sini tidak akan menolak saya sebagai calon mereka,” jelasnya.

Semalam, seorang lagi calon jawatan berkenaan, Datuk Yahya Jaafar dilaporkan menggesa agar pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru dilakukan dengan secara.

Menurut beliau, hal itu kerana hanya Bahagian Johor Bahru yang masih tertangguh manakala kesemua bahagian lain telah selesai mengadakan pemilihan semula.

“Saya berharap ia diadakan secepat mungkin kerana Ramadan sudah berakhir. Jika bubar DUN sekalipun, ada 60 hari untuk pemilihan dilakukan, ini sudah lebih tempoh itu,” ujarnya.

Pada 1 April lalu, Mohamed Khaled memberitahu UMNO Johor akan mengambil alih pemilihan berkenaan dengan Setiausaha UMNO Johor diberi tanggungjawab mengendalikan pemilihan terbabit.

“Kita mahu jika boleh semua perwakilan hadir pada mesyuarat bahagian dan pemilihan itu nanti supaya tidak berlaku ‘rumah siap, pahat berbunyi’. Pemilihan semula ini bukan seperti bahagian lain yang hanya membabitkan ketua bahagian sahaja, kerana UMNO Bahagian Johor Bahru ini membabitkan juga pemilihan keseluruhan jawatankuasa bahagian.

“UMNO Johor juga tidak mahu pemilihan semula ini diadakan secara tergesa-gesa. Oleh itu, perbincangan rapi perlu dilakukan kerana kita tidak mahu hanya segelintir ahli yang datang pada pemilihan semula nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×