Tiada parti dalam Kerajaan Perpaduan percaya kepada Pas - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Tiada parti dalam Kerajaan Perpaduan percaya kepada Pas – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, tiada parti dalam kalangan Kerajaan Perpaduan yang percaya kepada Pas.

Pada masa sama, Presiden UMNO itu berkata, beliau juga sudah serik dengan parti itu.

“Secara peribadi, saya serik dengan parti berkenaan kerana mereka telah berkahwin secara mut’ah, dalam politik ertinya kahwin (secara) sementara.

“Setakat ini, tiada parti dalam kalangan kami (Kerajaan Perpaduan) percaya kepada mereka (Pas) sebab mereka tidak mengotakan janji, ikrar dan piagam (Muafakat Nasional) yang dipersetujukan bersama,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa tiada sebarang langkah atau gerakan daripada kerajaan yang menawarkan parti itu untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam kalangan 19 pemimpin parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.

“Tidak juga pernah dibincangkan di kalangan pengerusi gabungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, jika ada pun yang mendakwa kononnya bertemu dengan pemimpin atau lapisan kepimpinan parti berkenaan, itu kami tidak anggap sebagai perjumpaan rasmi dan tidak ada satu gerakan dibuat ke arah itu,” jelasnya.

Katanya, Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mementingkan kewujudan kestabilan politik, namun masih meraikan perbezaan pendapat dan pendirian.

“Yang penting adalah mereka harus memperlihatkan menerusi perbahasan di Dewan Rakyat atau perbahasan ketika akta tertentu dibentangkan atau di dalam sidang akan datang sewaktu pembentangan kajian separuh penggal RMK-12 atau ketika pembentangan bajet pada Oktober ini, buktikannya dahulu,” katanya.

Terdahulu Anwar menafikan dakwaan pemimpin Pas kononnya ada wakil daripada kerajaan yang menawarkan parti itu untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Anwar berkata, beliau sama sekali tidak dimaklumkan berhubung perkara itu, malah ia tidak pernah dibincangkan pada peringkat pimpinan tertinggi kerajaan antara Pakatan Harapan atau Barisan Nasional (BN).

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, beliau menerima pandangan Bersatu yang diibaratkan seperti mimpi di siang hari mengenai dirinya dan UMNO yang berada dalam keadaan tergugat selepas Pas mendakwa ditawar untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Mereka (Bersatu) lebih tahu dari saya (tapi) saya alu-alukan pendapat yang berdasarkan mimpi di siang hari. Insya-Allah saya beriltizam untuk terus mengukuhkan kerajaan,” katanya.

Pada Ahad lalu, media melaporkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menyifatkan Ahmad Zahid ‘menggelupur’ kerana bimbang mengenai kedudukannya dan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya