Terpaksa tunggu lima jam di laut, angkara mendapan pasir

Terpaksa tunggu lima jam di laut, angkara mendapan pasir

LIM Ban Hong (kiri) menunjukkan sesuatu kepada nelayan ketika melakukan lawatan di Jeti Nelayan Klebang Besar, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerja-kerja mengorek pasir perlu dilaksanakan secara berkala bagi mengatasi masalah muara cetek di Jeti Nelayan Klebang Besar dan Jeti Nelayan Lereh, dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, akibat mendapan pasir di sungai ia menyebabkan nelayan menghadapi masalah untuk pulang ke jeti selepas menangkap ikan sewaktu air surut.

Menurutnya, beliau menerima banyak rungutan apabila mereka terpaksa menunggu hampir lima jam di tengah laut sebelum dapat pulang setelah air pasang.

“Muara sungai mengalami mendapan kesan daripada kerja-kerja penambakan laut di sekitar Klebang hingga ke Limbungan. Setelah berbincang dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), perkara ini akan dibawa pada mesyuarat penyelarasan tidak lama lagi.

“Agensi berkaitan akan mengemukakan satu peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan serta kementerian berkaitan bagi membolehkan kerja-kerja mengorek mendapan pasir dapat dilakukan di kedua-dua jeti berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Jeti Nelayan Klebang Besar hari ini.

Hadir sama Pengarah LKIM negeri, Darleena Baharudin dan Ketua Unit Pantai JPS negeri, Rohana Osman.

Tambah Ban Hong, jeti terlibat akan dinaik taraf melibatkan kos sebanyak RM75,000 yang telah bermula sejak 19 April lalu dan dijangka siap dalam tempoh 10 minggu.

Katanya, kerja-kerja yang akan dilakukan membabitkan pemanjangan ramp iaitu laluan untuk bot naik dan turun daripada 8 meter kepada 12 meter.

“Selain itu kerja-kerja menggantikan tiang pancang galvanized iron (GI) sedia ada kepada jenis GI yang disarung paip HDPE 75 milimeter keseluruhan berjumlah 90 batang serta disusun semula. Kerja-kerja itu perlu dilaksanakan bagi menampung, sebelum pemindahan seramai 19 nelayan dari Jeti Nelayan Limbungan dan Jeti Nelayan Kota Laksamana,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya