PETALING JAYA: Reputasi dan personaliti individu yang terlibat dengan kegiatan Darkside (DS) akan tercemar dan memberi impak besar kepada mereka dalam jangka masa 30 hingga 40 tahun akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, mereka yang terlibat dengan DS perlu berfikiran jauh dan bukan hanya memikirkan keseronokan jangka masa pendek sahaja.
“Kegiatan DS yang berleluasa perlu dihentikan kerana bukan hanya merosakkan reputasi dan personaliti mereka pada masa ini malah, ia akan berlanjutan selamanya.
“Setiap penghujung bagi kegiatan DS ini pasti akan berakhir dengan penderitaan tidak kira sama ada menghadapi masalah kesihatan seperti HIV/AIDS mahu pun penghinaan daripada masyarakat seumur hidup,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan Ketua dan Kaunselor Berdaftar di Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr. Azmawaty Mohamad Nor berkata, akaun Darkside (DS) digunakan untuk memaparkan sisi gelap individu seperti penyebaran maklumat, gambar dan video yang berunsurkan lucah serta dilakukan tanpa paksaan tetapi suka sama suka.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, sentiasa terdedah dengan kegiatan sama dalam tempoh tiga hingga enam bulan juga merupakan antara faktor kecenderung individu terikut dan berubah tingkah laku mengikut senario yang biasa dilihat.
“Apabila mereka ini sudah biasa menonton kegiatan-kegiatan berunsur lucah, ia menimbulkan perasaan ingin cuba dan mula terjebak menjadi salah seorang individu yang memberikan servis seks.
“Tambahan pula, semua platform media sosial secara automatik memaparkan isu yang sama di halaman jika kerap menonton atau melihat sesuatu hantaran yang sama,” katanya.
Katanya, dalam isu itu semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan tidak mengharapkan peranan kerajaan sahaja.
“Masyarakat perlu menasihatkan mereka ini secara konsisten di media sosial dengan menggunakan ayat ringkas dan mudah difahami agar mereka membacanya.
“Jika hal ini dilakukan setiap hari, sekurang-kurangnya mereka pasti terdetik untuk berubah ke arah yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, usaha agar kegiatan DS tidak terus berleluasa juga boleh bermula daripada peringkat sekolah.
Katanya, pihak sekolah boleh menampalkan pelekat-pelekat jauhi kegiatan DS dengan peringatan yang menarik agar mereka sentiasa membaca dan berfikiran positif tentang perkara baik dan buruk. – UTUSAN











