Tayangan perdana filem Anwar malam ini

Tayangan perdana filem Anwar malam ini

FILEM Anwar, The Untold Story terbitan produksi Indonesia, Bianglala Entertainment dibarisi pelakon hebat seperti Farid Kamil, Hasnul Rahmat dan Acha Septriasa ditayangkan serentak di beberapa negara termasuk Brunei dan Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun berdepan kekangan sejak diusahakan pada 2011, filem Anwar, The Untold Story bakal menemui penonton selepas tayangan perdana naskhah itu diadakan di sebuah pawagam terkemuka di ibu negara, malam ini.

Tayangan perdana filem itu bakal dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan teraju utamanya seperti Farid Kamil yang memegang watak sebagai Anwar, Hasnul Rahmat (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan Acha Septriasa (Datuk Seri Dr. Wan Azizah).

Filem tersebut mengisahkan perjalanan politik Anwar dalam memerangi rasuah dengan latar masa pada 1993 hingga 1998, ketika beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan sehingga dipecat dan dipenjarakan.

Diolah daripada kisah benar, alur ceritanya adalah mengenai ketegasan Presiden PKR itu yang konsisten menolak pelbagai jenis imbuhan dan sogokan wang tunai daripada pihak tertentu.

Selain itu, filem berkenaan memaparkan bagaimana Anwar enggan menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan syarikat dimiliki anak pemimpin tertentu yang mengalami kerugian berbilion ringgit.

Filem yang mendapat sentuhan pengarah Indonesia, Viva Westi dan terbitan Bianglala Entertainment itu menelan kos pembikinan sebanyak RM10 juta.

Selain Malaysia, filem itu ditayangkan serentak di beberapa negara termasuk Brunei dan Singapura.

Sebelum ini, Farid turut berkongsi cabaran dan dugaan menggalas watak utama seperti perlu mempelajari cara mengangkat tangan Anwar yang pernah ditahan polis pada 1998, selama sebulan.

Runut bunyi (OST) filem itu dinyanyikan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Menjaga Cintamu yang menggambarkan perjuangan Wan Azizah serta wanita lain secara amnya yang setia mencintai pasangan mereka. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN