Tak sempat bincang Kedah Aerotropolis ketika LIMA ‘23 - Sanusi

Tak sempat bincang Kedah Aerotropolis ketika LIMA ‘23 – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perbincangan mengenai pembangunan Kedah Aerotropolis tidak sesuai dilakukan ketika Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) di Pulau Langkawi, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menjenguk reruai pameran projek itu sempena LIMA ‘23, namun beliau juga tidak mempunyai masa mencukupi untuk menjelaskan tentang pembangunan itu.

“Tak ada (bercakap mengenai Kedah Aerotropolis). Beliau (Perdana Menteri) ada lalu tengok reruai kita mengenai projek tersebut tetapi saya pun tak ada kesempatan panjang nak bercakap mengenai tajuk itu.

“Saya perlu masa lebih panjang dan sesuai. Jumpa di situ (LIMA ‘23) tak sesuai,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim antara Kedah dan Perlis di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Projek mega Kedah Aerotropolis merangkumi beberapa komponen termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi pertikaian antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Tambah Muhammad Sanusi, beliau sehingga kini masih menunggu persetujuan Perdana Menteri untuk berjumpa bagi membincangkan dan memberi taklimat mengenai KXP dan Kedah Aerotropolis.

Sementara itu, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengesahkan akan meneruskan penganjuran LIMA yang dilihat cukup hebat setelah mendapat kerjasama antara agensi kedua-dua kerajaan.

“Terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan dan agensi di peringkat pusat yang telah bertungkus-lumus menjayakan LIMA ’23. Begitu juga dengan agensi kerajaan negeri yang bersungguh-sungguh menjayakannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) meminta semua pihak tidak mengheret isu kononnya Pas diajak menyertai kerajaan Perpaduan ke tahap yang terlalu jauh.

“Tok Guru (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) kata ada orang nak jumpanya dan beliau sanggup jumpa sesiapa saja termasuk Anwar. Beliau kata yang itu sahaja dan tak kata pun orang ajak beliau masuk kerajaan Perpaduan.

“Dakwaan itu akhbar yang tulis kemudian diulas, nayalah Tok Guru kalau begitu. Tak patut ambil daripada benda-benda begitu kemudian dipanjangkan lagi sebaliknya kembali kepada asal iaitu banyak orang nak jumpa beliau dan beliau sanggup jumpa sesiapa pun,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya