Tak akan berlaku kekosongan kerusi Parlimen di Sabah

Tak akan berlaku kekosongan kerusi Parlimen di Sabah

PEMIMPIN kerajaan negeri, politik dan orang ramai hadir memeriahkan majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di SICC di Kota Kinabalu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin tidak akan berlaku kekosongan kerusi Parlimen di Sabah.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, beliau tidak fikir akan berlaku kekosongan kerusi Parlimen di negeri ini.

Beliau berkata, tindakan pim­pinan Bersatu memfailkan permohonan di mahkamah bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat akan dihormati.

Namun, beliau tidak terkejut dengan tindakan pimpinan Bersatu itu kerana tindakan sebegitu jelas menunjukkan mereka tidak mahu melihat ada gerakan parti lokal yang ingin bergerak atas satu landasan politik citra tempatan.

“Kita kena hormati sistem kehakiman negara jadi, apabila ada pihak tertentu yang membawa perkara ini ke mahkamah maka, kita kena hormati dan patuhi walaupun telah diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat sebelum ini,” katanya semasa majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berkata, kesemua empat bekas Ahli Parlimen Bersatu akan berbincang dengan pasukan perundangan bagi mendapatkan nasihat mengenai tindakan selanjutnya yang boleh diambil.

Walau bagaimanapun, setakat ini affidavit masih lagi belum diterima biarpun permohonan kebenaran difailkan di Mahkamah Tinggi pada 17 April lalu.

Mengenai locus standi Bersatu untuk mencabar keputusan Dewan Rakyat, Armizan berkata, perkara itu harus ditanya kepada pihak yang memfailkan permohonan di mahkamah.

“Kita perlu tanya dengan orang yang bawa ke mahkamah iaitu Datuk Ronald Kiandee. Tanya dia, kenapa dia bertan­ding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan kenapa kami tanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), samakah atau berbeza?. Itu antara perkara yang saya fikir perlu diperjelaskan, tunggulah apa yang diputuskan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, beliau serahkan kepada mahkamah untuk memutuskan tentang status kerusi Parlimen mereka.

Jelasnya, beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya kepemimpinan Bersatu ingin mencabar keputusan Spea­ker Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya selaku pegawai awam pertubuhan parti itu dilaporkan telah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman agar membatalkan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul me­ngenai keperluan mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Dalam permohonan kebena­ran itu, Bersatu memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu yang memberi penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada ber­lakunya kekosongan kerusi parlimen berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Perlembagaan Bersatu.

Empat ahli Parlimen terlibat ialah Armizan, Matbali, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), keempat-empat bekas Ahli Parlimen Bersatu berkenaan bertanding menggunakan tiket GRS. Namun, kesemua mereka telah dipecat daripada Bersatu pada 21 Disember lalu dan kekal sebagai Ahli Parlimen GRS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×