SPAN perlu siasat insiden paras air Sungai Muda susut mendadak - Utusan Malaysia

SPAN perlu siasat insiden paras air Sungai Muda susut mendadak

CHOW Kon Yeow (kanan) ketika meninjau rumah pam di Kampung Lahar Tiang, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan siasatan penuh bagi mengetahui punca sebenar insiden penurunan paras air Sungai Muda yang berlaku secara mendadak, sejak awal pagi semalam supaya kejadian sama tidak berulang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, siasatan itu juga perlu dibuat bagi mengenal pasti bagaimana kerosakan yang hanya berlaku pada satu pintu empangan iaitu melibatkan ‘sensor’ boleh menjejaskan sehingga lebih 600,000 akaun pengguna termasuk di Kedah yang secara keseluruhan membabitkan sehingga dua atau tiga juta pengguna.

Dalam masa sama, tambah beliau, SPAN juga perlu mengarahkan pihak berkuasa sama ada di Kedah atau Pulau Pinang menyemak semua sistem dalam baraj khususnya di sepanjang Sungai Muda.

“Ini penting untuk kita kenal pasti mana-mana bahagian yang tidak berfungsi atau rosak sama ada perlu diganti atau ditambah baik sahaja sebagai satu usaha ‘preventive maintenance’ (penyelenggaraan pencegahan).

“Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga wajar menubuhkan Ulu Muda Basin Authority untuk melihat isu-isu air khususnya yang berlaku di wilayah utara selain bagi melaksanakan projek-projek yang berkaitan demi kebaikan rakyat pada masa depan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika meninjau rumah pam di Kampung Lahar Tiang, di sini, hari ini bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan.

Terdahulu, penurunan mendadak paras air Sungai Muda sejak pukul 5 pagi semalam telah menyebabkan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua terjejas sekaligus menyebabkan lebih 600,000 akaun pengguna di Pulau Pinang dan selatan Kedah secara keseluruhannya terjejas.

Justeru, PBAPP menjangkakan berlakunya gangguan bekalan air khususnya di Pulau Pinang sehingga ia dipulihkan sepenuhnya iaitu sehingga selewat-lewatnya Rabu ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, paras air kini berjaya dipulihkan sehingga 90 peratus kepada keadaan asal di seluruh Pulau Pinang dengan baki akaun pengguna yang terkesan dianggarkan sekitar 40,000 sahaja.

Sementara itu, Pathmanathan memberitahu, sehingga kini, hanya beberapa kawasan khususnya di daerah Barat Daya di bahagian pulau negeri ini masih terjejas dengan isu bekalan air ketika ini.

Kata beliau, antara kawasan itu termasuk Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas, Jalan Teluk Kumbar, Bukit Belah, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Gertak Sanggul.

Jelasnya, turut terkesan ialah Kampung Matahari Naik, Jalan Pondok Upeh, Batu Itam, Flat Lily, Pulau Betong, Bukit Penara dan Persiaran Mayang Pasir.

“Ini kawasan yang tidak ada air langsung setakat ini. Semuanya dalam lingkungan 10 peratus. Tempat lain sudah tidak ada masalah, sudah selesai,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.