Sokong parti politik, itu hak saya - Ashraf Muslim - Utusan Malaysia

Sokong parti politik, itu hak saya – Ashraf Muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOKONGAN selebriti terhadap mana-mana parti politik di negara ini bukan sesuatu yang asing lagi. Ramai yang terbuka menyatakan kecenderungan dan sokongan terhadap parti tertentu. 

Malah, ada golongan selebriti yang berani mengambil risiko untuk bertanding pilihan raya sekalipun belum pernah ada rekod menyaksikan mana-mana artis berjaya menjadi wakil rakyat. 

Bagi pelakon, Ashraf Muslim, berpolitik adalah hak masing-masing asalkan tidak memburukkan pihak lain yang cenderung menyokong parti lain. 

“Jangan kita kutuk parti itu salah, parti ini yang betul. Jangan sampai memburukkan pihak lain sehingga suasana menjadi negatif. Semuanya terserah kepada pilihan masing-masing.

“Kalau sokong belah sini, bagi hujah yang betul dan jangan sampai bergaduh atau bertikam lidah,” katanya. 

Sebagai golongan yang mampu memberikan pengaruh besar kepada masyarakat, Ashraf berkata, ramai golongan artis yang cakna dengan isu politik serta mengambil tahu perkembangan yang berlaku. 

“Ada yang ambil tahu tetapi pasif. Ada yang takut-takut tetapi itu semua hak masing-masing. Apa yang penting adalah menunaikan tanggungjawab ketika waktu mengundi,” katanya.  

PIMPIN ISTERI SEBELUM PIMPIN NEGARA

Ditebak berani menyatakan sokongan terhadap parti tertentu di media sosial, Ashraf yang mengamalkan kehidupan berpoligami menjelaskan ia adalah hak dan ideologi masing-masing. 

Malah, tidak pernah terbit kerisauan dalam dirinya sekiranya sokongan secara jelas itu akan mempengaruhi periuk nasinya dalam karier lakonan. 

“Dalam Islam juga ada politik dan kita juga perlu mengambil tahu dan memastikan pilihan yang tepat. Semuanya terserah atas pilihan masing-masing. 

“Saya tak pernah risau (kurang tawaran) sebab rezeki datang dari Allah. Kalau rasa sesuai untuk diri sendiri saya buat. Saya tak pernah takut kalau politik akan menjadi punca pintu rezeki tertutup,” ujarnya yang sekadar menjadi ahli biasa dalam parti politik. 

Bagi pelakon drama bersiri Nenek Bongkok Tiga ini, pemimpin politik berperanan membuat perubahan besar terhadap masyarakat. 

Jelasnya, selagi mana parti politik yang dipilihnya mempertahankan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu, selagi itu sokongannya tidak akan berbelah-bahagi. 

“Situasi politik sekarang memang tidak boleh dijangka. Cuma saya berminat dengan orang muda yang lebih menekankan kepentingan Islam dan Melayu. 

“Kita hendak mencari ahli politik yang boleh buat kerja bukan setakat cakap kosong sahaja. Jadi pemimpin juga bukan mudah. Sifirnya adalah pimpin isteri dan keluarga dahulu barulah boleh memimpin negara,” katanya. 

Mengulas harapan terhadap pemimpin politik, sudah tentu Ashraf menginginkan pemimpin yang mempunyai imej yang baik serta akhlak yang terpuji. 

Katanya, pemimpin juga perlu mempunyai cara berfikir baharu dan tidak terikat dengan ideologi lama yang boleh menghakis kepercayaan rakyat. 

“Kita mahu pemimpin yang mempunyai buah fikir baharu, bukan yang kerap memberikan jawapan yang sama. Ada pembaharuan yang ingin dilakukan serta tindakan selari dengan percakapan.

“Ini adalah tanggungjawab pemimpin muda yang tidak perlu terikat denga cara lama supaya memberi pengaruh besar kepada masyarakat,” katanya.  

  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.