PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta untuk segera memperbaiki mekanisme Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana sekumpulan pencarum KWSP yang diluluskan permohonan dengan dana pinjaman sudah dimasukkan ke akaun bank masih tidak dapat mengeluarkan kesemua wang itu sehingga hari ini.
Katanya, kelulusan itu pada awalnya memberi kelegaan kerana mereka semua sebenarnya mempunyai status bankrap.
Namun katanya, ada di antara mereka yang menerima mesej pesanan ringkas (SMS) daripada MBSB Bank mengarahkan mereka mendapatkan surat pelepasan daripada Jabatan Insolvensi dan jika tidak, pinjaman mereka akan dibatalkan walaupun dana sudah dimasukkan ke akaun bank.
“Bagaimana boleh wujud satu keadaan yang mana pinjaman telah diluluskan, dana telah dimasukkan dalam akaun peribadi, tapi peminjam tidak dibenarkan membelanjakan wang itu? Kalau mereka ini tidak layak sebab bankrap, kenapa permohonan diluluskan? Bukan saja lulus, malah duit pun dah masuk ke akaun peribadi.
“Lebih buruk lagi, salah seorang pencarum berkongsi dengan saya tangkap layar akaun beliau. Peminjam ini meminjam RM18,000 daripada sebuah bank dengan mencagarkan wang KWSP yang dia ada. Bank itu mengenakan caj pada kadar 4.5 peratus dan tempoh pinjaman ialah 9 tahun.
“(Tetapi), jumlah penuh yang dia perlu bayar ialah RM35,601.12. Dua kali ganda daripada jumlah RM18,000 yang dia pinjam. Daripada seorang yang elok-elok ada wang dalam akaun KWSP sendiri, dia kini berhutang RM35,000 dan wang KWSP sendiri pula telah tercagar akibat polisi Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Justeru, Wan Saiful menggesa Anwar selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri memberi penjelasan kenapa pentadbiran beliau amat cacamarba dan huru-hara sehingga rakyat yang susah dianiaya sebegitu.
Katanya, ini kerana tidak pernah ada Perdana Menteri di muka bumi ini yang mencadangkan bahawa penyelesaian bagi mereka yang bankrap sebab berhutang ialah dengan menambah lagi hutang.
“Ini pemikiran songsang Perdana Menteri yang tidak kompeten,” jelasnya.
Beliau berkata, Anwar secara khusus perlu menjelaskan bagaimana mereka yang bankrap boleh menerima kelulusan permohonan pinjaman.
Selain itu katanya, Ahli Parlimen Tambun itu juga perlu memberi jaminan pencarum tidak akan dikenakan apa-apa caj atau faedah sekiranya pinjaman mereka dibatalkan walaupun wang sudah dimasukkan ke dalam akaun peribadi peminjam dan status KWSP mereka kembali kepada sediakala.
“Seterusnya, pastikan peminjam yang telah mengeluarkan wang pinjaman tidak dipaksa memulangkan wang dengan zalim kepada mereka dan jelaskan apa rasional kerajaan memaksa pencarum menambah hutang sehingga jumlah bayaran balik jadi berganda dan membebankan.
“Sebenarnya yang paling baik ialah Anwar akui dia telah tersilap dengan FSA2. Ubah saja kepada pengeluaran KWSP bersasar seperti yang saya gesa sebelum ini. Itu adalah penyelesaian lebih tepat dan tidak menambah hutang pencarum.
“Jika Anwar tidak dapat terima hakikat bahawa dasar songsang yang dia bawa ini menyusahkan rakyat, lebih baik Anwar letak sahaja jawatan Menteri Kewangan dan berikan kepada orang yang lebih kompeten,” jelasnya. – UTUSAN