KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan membetulkan tanggapan dan tuduhan sesetengah pihak yang telah tersasar berhubung saranan supaya menyokong calon DAP di kawasan masing-masing pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Katanya, beliau tidak menyebut secara khusus bahawa ahli parti UMNO disaran menyokong calon DAP kerana sebetulnya adalah calon ‘Kerajaan Perpaduan’ yang boleh menjadi sesiapa sahaja dalam dua gabungan parti-parti komponen kerajaan.
“Yang saya sebut sebelum ini, saya kata sokongan bukan atas nama DAP tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan.
“Kita (kerajaan) saling membantu antara satu sama lain. Sebagai calon DAP yang kalah di Pontian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mendapat 15,000 undi. Apabila kita berada dalam Kerajaan Perpaduan pada PRU16, saya kira DAP tak akan tanding lagi di Pontian.
“Maka, 15,000 orang yang sebelum ini undi DAP mungkin akan undi BN atau calon UMNO. Oleh itu, apabila DAP membantu kita dalam pertandingan kita terlibat adalah menjadi lumrah politik bahawa kita juga bantu parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya bukan menyatakan sesuatu yang luar biasa tetapi kecaman kononnya saya minta ahli UMNO mengundi DAP, maka timbullah tuduhan-tuduhan yang amat menyakitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis tandatangan perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali Mengenai Cukai atas Pendapatan dan Pencegahan Pelarian dan Pengelakan Cukai (PPPDK) antara Kerajaan Malaysia dan Menteri Kewangan Maldives, Ibrahim Ameer di bangunan Parlimen hari ini.
Baru-baru ini, Ahmad dilaporkan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya negeri tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.
Katanya, meskipun calon yang bertanding daripada DAP, namun ia mewakili gabungan Kerajaan Perpaduan dan harus diterima susulan perubahan politik ketika ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pula berkata, ‘saranan’ UMNO supaya pengundi parti itu memberi sokongan kepada calon DAP sebagai munasabah dan masuk akal.
Ini kerana, sebagai parti yang bekerjasama dalam kerajaan di peringkat Persekutuan, sudah pasti memerlukan sokongan antara satu sama lain. Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching sebelum itu turut menyokong saranan Ahmad.
Tidak senang dengan kenyataan itu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, tindakan Ahmad menggesa ahli partinya supaya memberi sokongan kepada DAP sebagai ‘luar biasa’.
Katanya, itulah kali pertama beliau mendengar pemimpin parti terbabit meminta anggota parti menyokong DAP selama hampir 40 tahun dia berada dalam UMNO.
Mengulas lanjut, Ahmad menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab melabelnya sebagai kafir hanya kerana meminta ahli UMNO mengundi DAP selain menyifatkan tindakan itu sebagai tidak matang.
Beliau turut mengutuk tindakan pihak terbabit yang menerbitkan poster menggunakan muka babi dan ditular di media sosial dan menyifatkannya sebagai dangkal dan tidak matang.
“Ini bukan isu peribadi tetapi isu prinsip, kita tidak boleh mengkafirkan orang hanya kerana saya kata undilah DAP (pada pilihan raya negeri), maka timbullah tuduhan menjelikkan. Saya tidak kata ia dilakukan parti tertentu tetapi ayat disebut itu melambangkan kerendahan ilmu pihak berkaitan.
“Saya ingin maklumkan, Pas pernah bersama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, malah Presidennya pernah menyebut undi calon DAP, selain Presiden Bersatu pernah melaungkan perkara sama, tetapi kami (UMNO) tidak pernah mengkafirkan mereka.
“(Sokongan kepada DAP) Tiada kaitan dengan akidah pun sebab kita bersama dalam Kerajaan Perpaduan jadi kita harus saling membantu,” katanya. – UTUSAN










