PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau tiada masalah untuk mengisytihar harta kerana tidak ada apa yang perlu disorok.
Sebaliknya kata beliau, menjadi masalah adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beberapa kali menuduhnya salah guna kedudukan semasa menjadi Perdana Menteri untuk kayakan diri dan keluarga.
“Saya juga dituduh memiliki wang berbilion ringgit, kapal terbang dan kapal. Kononnya semua orang tahu. Saya kata tunjuk bukti saya salah guna kuasa untuk kayakan diri dan keluarga. Kalau tidak, saya akan ambil tindakan mahkamah.
“Saya telah ambil tindakan mahkamah dan sehingga hari ini dia tidak pernah tunjuk bukti selain ke sana ke mari buat tuduhan terhadap saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Dr. Mahathir mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme pada Mac lalu.
Beliau mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapannya pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.
Dr. Mahathir justeru sekali lagi mahu Anwar menunjukkan bukti bahawa beliau telah salah guna kuasa untuk kayakan diri dan keluarga.
“Sebaliknya dia minta saya tunjuk bukti harta saya. Dia yang tuduh saya dan dia minta saya pula tunjuk bukti. Setakat cakap di atas pentas politik tanpa ada bukti ini siapa pun boleh buat. Mereka ini digelar ‘mat retorik’,” katanya. – UTUSAN