'Saya perlu cakap, pegang tangan, saling bertentang mata dengan Sam' - Utusan Malaysia

‘Saya perlu cakap, pegang tangan, saling bertentang mata dengan Sam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak semua filem sekuel berjaya menambat hati penonton. Namun momentum yang diberikan trilogi Polis Evo dengan gandingan Zizan Razak dan Shaheizy Sam masih memukau.

Bagi pemilik nama sebenar Mohammad Razizan Abdul Razak, 39, keserasian yang dicipta bersama-sama Shaheizy Sam Abdul Samad, 40, sepanjang lapan tahun adalah sebuah anugerah kerana masing-masing saling memberi tenaga yang tidak berbelah bagi untuk menjayakan filem ini.

“Bila tengok saya dan Sam keluar (di layar), saya terus meremang. Sebab saya tidak hanya melihat lakonan tetapi juga terkenang belakang tabir filem ini di mana kami menghafal dialog, menahan kesakitan semasa penggambaran, setahun kami berlatih guna pistol dan lain-lain.

“Saya seorang pelawak dan susah nak serius kecuali jika saya sakit perut. Namun semasa penggambaran dan kami memerlukan babak serius, saya kena bercakap dengan Sam, pegang tangan dan saling bertentang mata antara satu sama lain.

“Dulu kami segan, tapi sekarang kami sangat akrab seperti adik-beradik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Polis Evo 3, semalam.

Berkongsi memori yang sama, jenama Polis Evo sangat dekat dengan jiwa Sam sehingga dia berharap tidak tua demi meneruskan karakter ‘Inspektor Khai’ di dalam filem ini.

“Sampai sekarang, sudah lapan tahun berkenalan dengan Zizan.

“Banyak filem saya sebelum ini hanya ada satu karakter penting sahaja. Namun, kali ini kami adalah duo. Keakraban itulah yang kami cipta sampailah kita betul-betul rapat sehingga Polis Evo 3.

“Kalau boleh saya tak nak tua sebab nak selalu jadi inspektor Khai sampai bila-bila,” tambahnya.

Menelan belanja melebihi RM8 juta, Zizan dan Sam berharap Polis Evo 3 yang bakal menemui penonton 25 Mei ini akan memperoleh kutipan luar biasa.

“Jika anda menonton filem ini, dialog terakhir antara saya dan Sam sebenarnya memberikan kesan yang besar kepada kami. Lima tahun menunggu Polis Evo 3. Saya harap ia akan dapat mencapai kutipan luar biasa,” kata Zizan.

Bagi Sam, banyak cabaran yang dihadapinya untuk trilogi Polis Evo ini. Semoga usahanya berbaloi dan memberikan kepuasan kepada penonton di panggung nanti.

“Kejayaan Polis Evo satu dan dua sebelum ini sebenarnya memberikan sebuah cabaran untuk menghasilkan filem yang lebih baik. Sebab selalunya kalau filem sampai ketiga atau keempat orang mungkin dah menyampah.

“Namun, itu adalah cabaran yang kami terpaksa lalui untuk pastikan semua penonton gembira. Kalau boleh saya nak filem ini sampai Polis Evo ke 26. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang pernah menyokong kami sejak Polis Evo 1 dahulu,” tambahnya.

Terdahulu, Polis Evo 1 telah mencatat kejayaan dengan meraih kutipan sebanyak RM17.8 juta diikuti Polis Evo 2 yang mencatatkan kutipan melebihi RM20 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN