Sanggup curi Honda EX5 untuk bergaya pada Aidilfitri - Utusan Malaysia

Sanggup curi Honda EX5 untuk bergaya pada Aidilfitri

RAHMAT Ariffin (kanan) menunjukkan tiga buah motosikal jenis Honda EX5 yang dirampas daripada tiga suspek di IPD Iskandar Iskandar, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Tiga individu termasuk dua pelajar sanggup mencuri tiga motosikal jenis Honda EX5 semata-mata mahu kelihatan bergaya pada sambutan Aidilfitri, minggu lalu.

Salah sebuah motosikal yang dicuri kumpulan itu milik seorang anggota polis yang dilarikan di Pangsapuri Merak, Jalan Pulai Harmoni 1, Bandar Baru Kangkar Pulai, di sini, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima aduan daripada anggota polis tersebut kira-kira pukul 5 petang memaklumkan motosikal yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci di pangsapuri itu hilang.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Pu­teri dan pasukan khas Balai Polis Kangkar Pulai menahan seorang suspek pada pukul 7.50 malam, 1 Mei lalu.

“Dalam serbuan berasingan, polis menahan seorang lagi suspek dan merampas tiga buah motosikal di sekitar kawasan Kangkar Pulai.

“Hasil soal siasat terhadap tangkapan pertama, polis menahan seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes ini. Kesemua suspek yang ditahan ini berusia antara 14 hingga 21 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka mencuri motosikal itu untuk kegunaan sendiri pada Aidilfitri lalu,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, di sini semalam.

Selain tiga motosikal yang dicuri, polis turut merampas dua kunci motosikal.

Rahmat berkata, tiga rakan yang aktif melakukan jenayah itu sejak bulan lalu menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 yang diletakkan di bawah blok pangsapuri atau di kawasan masjid.

“Dengan tangkapan tiga suspek itu, polis berjaya menyelesaikan tiga kes curi motosikal yang dua dilaporkan di IPD Iskandar Puteri dan satu di IPD Johor Bahru Utara,” katanya.

Tiga rakan berkenaan ditahan reman hingga Rabu ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN