Saman RM150 juta: Mahkamah arah PM fail pembelaan - Utusan Malaysia

Saman RM150 juta: Mahkamah arah PM fail pembelaan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan pembelaan selewat-lewatnya pada 14 Jun ini berhubung saman fitnah yang dikemukakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menuntut ganti rugi sebanyak RM150 juta.

Tarikh tersebut ditetapkan pada pengurusan kes itu yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Pada prosiding sama, mahkamah turut mengarahkan Dr. Mahathir selaku plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan pada atau sebelum 6 Julai.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Aliff Benjamin Suhaimi ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan peguam-peguam, Mathew Thomas Philip dan Phoebe Loi yang mewakili Anwar selaku defendan untuk lanjutan masa pemfailan pembelaan. 

Permohonan tersebut dibantah peguam plaintif (Dr. Mahathir), Rafique Rashid. 

Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 7 Julai ini di hadapan Hakim Jamhirah Ali.

Pada 5 Mei lalu, Dr. Mahathir memfailkan saman fitnah dan menuntut ganti rugi RM150 juta terhadap Ahli Parlimen Tambun itu berhubung dakwaan dibuat bekas timbalannya itu bahawa beliau menggunakan kedudukannya untuk memperkayakan diri, keluarga dan bersifat rasis.

Dakwaan tersebut dikatakan dibuat oleh Presiden PKR itu ketika berucap semasa ucapan dasar pada Kongres Nasional 2023 parti berkenaan pada 18 Mac lalu.

Bekas Perdana Menteri Ke-4 dan Ke-7 itu mendakwa kenyataan Anwar itu telah mencalar imejnya sebagai negarawan dan individu yang pernah berada di tampuk pemerintahan pada 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.

Justeru, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan teladan, RM100 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya