Sagu hati AKSB: Pengguna rakam ‘ucapan tahniah’ - Utusan Malaysia

Sagu hati AKSB: Pengguna rakam ‘ucapan tahniah’

POSTER kenyataan media oleh AKSB berhubung penjelasan agihan sagu hati Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Isu pembayaran sagu hati kepada Ahli Lembaga Pengarah Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) sebanyak RM10,000 setiap seorang terus menjadi bualan dalam kalangan rakyat negeri ini dan bahan sindiran termasuk di media sosial.

Rata-rata mereka ‘mera­kamkan ucapan tahniah’ kepada syarikat berkenaan atas perkhid­matan yang diberikan dalam menyelesaikan isu bekalan air.

Bercakap kepada Utusan Malaysia seorang pengguna, Rohaiza Abdul Rahman, 45, berkata, sagu hati tersebut wajar diberikan atas perkhidmatan yang telah dicurahkan dalam membantu menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.

“Pada saya mereka layak menerima sagu hati itu. Besar harapan saya agar ia menjadi pemangkin semangat untuk terus ‘memerah minda’ dalam menyelesaikan masalah air di negeri ini.

“Walaupun angin lebih banyak keluar daripada air, namun saya bersyukur kena telaga tiub yang digali mengeluarkan air. Dengan cara ini dapatlah menampung keperluan harian,” katanya.

Rohaiza memberitahu, lebih 90 peratus penduduk di Kampung Lepar Limbat, Pasir Tumboh di sini terpaksa mengeluarkan belanja menggali telaga tiub untuk mendapatkan sumber air.

Katanya, masalah bekalan air bersih di kawasan rumah­nya sudah berlarutan sebelum Ramadan dan masalah tersebut seolah-olah dilihat tanpa penghujung.

“Kalau ada pun sekitar pukul 2 hingga 3 pagi. Itupun air yang keluar daripada kepala paip sa­ngat perlahan seperti titisan hujan,” jelasnya.

Seorang pengguna dari Kampung Tok Rusa, Pasir Mas yang enggan dikenali berkata, pemberian bonus kepada Ahli Lembaga Pengarah AKSB itu cukup mengecewakan.

Katanya, hal ini kerana bonus tersebut tidak setimpal dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh AKSB kepada pelanggan.

“Ketika rakyat menderita tiada air, tiba-tiba tular mereka dapat bonus raya,” jelasnya.

Dewan Pemuda Pas Kelantan sebelum ini menyifatkan pemberian sagu hati berjumlah RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah AKSB merupakan prosedur biasa.

Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, pemberian itu sebagai menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan-keputusan dasar kepada pihak pengurusan.

Terdahulu, seorang individu dikenali sebagai Wan Mahussin Wan Zain memuat naik di laman sosial Facebook miliknya berupa salinan notis yang didakwa dikeluarkan AKSB mengenai pemberian Aidilfitri pada tahun ini.

Notis tersebut antara lain memaklumkan, AKSB meluluskan pemberian sagu hati seba­nyak RM10,000 kepada semua Ahli Lembaga Pengarah AKSB manakala semua kakita­ngan syarikat menerima bayaran RM200.

Pada masa sama, Setiausaha syarikat kepada AKSB pula diberi RM2,000.

Pendedahan itu tular dan menimbul perdebatan hangat dalam kalangan warganet.

Dalam pada itu, AKSB mendedahkan pemberian sagu hati kepada Ahli Lembaga Pe­ngarah dan kakitangan bertujuan meringkan beban mereka untuk menyambut hari lebaran.

AKSB berkata, bayaran sagu hati itu dibuat mengikut prosedur tadbir urus dan diluluskan lembaga pengarah iaitu badan tertinggi sesebuah syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.