Projek tambak laut hanya satu pulau - Utusan Malaysia

Projek tambak laut hanya satu pulau

CHOW Kon Yeow menunjukkan pelan tambak laut bagi projek PSI yang kini dikurangkan kepada hanya sebuah pulau berbanding tiga sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Rancangan projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) kini dikurangkan daripada tiga kepada hanya satu pulau.

Ia juga melibatkan pengurangan 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu selari dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan negeri mengkaji semula dan mengecilkan skop tambakan laut itu.

Jelasnya, ia mengambil kira komitmen diberikan Kerajaan Pusat menyediakan dana dan menyegerakan projek transit aliran ringan (LRT) di negeri ini.

“Kita menyahut seruan Perdana Menteri dan kini projek tambakan perairan selatan Pulau Pinang hanya melibatkan seluas 2,300 ekar iaitu pembinaan Pulau A atau ‘Silicon Island’.

“Projek ini akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan ke­seluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan.

“Pulau B membabitkan keluasan 1,400 ekar (566.6 hektar) dan 800 ekar (323.7 hektar) tidak akan diteruskan,” katanya di sini semalam.

Ketika berucap pada majlis sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di UiTM Permatang Pauh, Sabtu lalu, Anwar me­minta projek tambak laut perairan selatan itu dikaji semula dan dikecilkan skop tambakannya.

Sebagai alternatif, tambah Perdana Menteri, Kerajaan Pusat akan menyediakan skim dalam jumlah dana mencukupi kepada Pulau Pinang melaksa­nakan segera projek LRT.

Menurut Kon Yeow, Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek PSI yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui surat bertarikh 11 April lalu meliputi ketiga-ketiga pulau seluas 1,821 hektar sekali gus tidak memerlukan kerajaan negeri memohon EIA baharu untuk meneruskan projek tersebut.

Jelas beliau, pengurangan saiz tambakan laut menerusi projek itu tidak akan memberi sebarang impak kepada kerajaan negeri dari sudut bayaran pampasan atau ganti rugi kepada pelaksana projek, SRS Consortium Sdn. Bhd. (SRS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya