PRN Selangor: Rundingan pembahagian kerusi PH-BN masih berjalan - Utusan Malaysia

PRN Selangor: Rundingan pembahagian kerusi PH-BN masih berjalan

Rundingan kerusi
AMIRUDIN Shari beramah mesra dengan kanak-kanak di Pusat Smart Desa di Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor, petang tadi. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor masih dalam proses rundingan mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses perbincangan itu sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan Jawatankuasa Pusat Kerajaan Perpaduan.

Jelas Menteri Besar itu, perbincangan asal dan laporan rundingan yang dibawa ke peringkat jawatankuasa itu tidak mengganggu kuota kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PH atau BN.

“Kita menyerahkan apa yang telah  dibincang kerana mereka (Jawatankuasa Pusat) sudah meminta senarai pembahagian itu.

“Malah, kita menjalankan dua atau tiga kali sesi (perbincangan) antara PH dan BN mengenai rundingan kerusi di peringkat negeri,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Smart Desa di Kampung Sungai Air Tawar di sini, petang tadi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan PH optimis mampu memenangi sekurang-kurangnya 50 kerusi DUN di Selangor pada PRN akan datang bersandarkan faktor sokongan pengundi Melayu yang kian meningkat hasil kerjasama utuh dengan BN di bawah Kerajaan Perpaduan.

Malah, hasil kaji selidik dilaporkan sokongan itu kini bertambah mencecah 50 peratus selepas lebih enam bulan pentadbiran kerajaan.

Ujar Amirudin, ketetapan di peringkat negeri oleh PH-BN itu semestinya tidak mengganggu kerusi dimenangi parti bertanding sebelum ini.

“Kita tidak mengganggu kawasan kerusi yang dimenangi kecuali pertukaran suka sama suka antara parti,” ujarnya.

Ditanya mengenai kerusi DUN Sabak dan Meru dimenangi Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau berkata, kerusi itu akan dikembalikan kepada Amanah.

“Penyandang kerusi itu nanti biar parti berkenaan uruskan sendiri nanti. Ada juga kerusi yang kita bincang terutama bagi kerusi dimenangi Bersatu sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya