PRN mungkin pertengahan Ogos

PRN mungkin pertengahan Ogos

Kepulangan jemaah haji ke tanah air antara faktor yang diambilkira dalam menentukan tarikh pilihan raya negeri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarikh kumpulan terakhir jemaah haji tiba di tanah air dan pilihan raya yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) antara faktor menentukan bila Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan.

Mengambil kira dua perkara itu, PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dijangka berlangsung pada pertengahan Ogos ini.

Kumpulan jemaah haji terakhir dijadual tiba pada 2 Ogos dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu mengambil kira sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perlembagaan Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, SPR hendaklah mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari iaitu antara Julai atau Ogos.

Menurut beliau, terdapat DUN yang bakal terbubar secara automatik pada hujung Jun dan ia tidak boleh dielakkan.

“Berdasarkan undang-undang pilihan raya dan Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari selepas SPR terima tarikh pembubaran DUN apatah lagi bubar secara automatik. Selepas itu, persidangan DUN hendaklah ditetapkan pada satu tarikh yang tidak melebihi 120 hari dari tarikh pembubarannya,” ujar beliau.

Semalam, akhbar ini melaporkan Selangor dan Kelantan dijangka menjadi negeri terawal membubarkan DUN masing-masing bagi memberi laluan kepada PRN.

Ini berdasarkan kepada tempoh penggal DUN Selangor yang berakhir pada 25 Jun manakala tempoh penggal DUN Kelantan tamat pada 26 Jun, diikuti dengan Terengganu yang berakhir pada 30 Jun ini.

Ia bermakna, Pakatan Harapan (PH) menjadi gabungan politik pertama yang dijangka membubarkan DUN iaitu di Selangor, diikuti Perikatan Nasional (PN) di Kelantan dan Terengganu.

Terdapat 7.1 juta keseluruhan pengundi melibatkan keenam-enam negeri tersebut iaitu Kedah (1.5 juta), Kelantan (1.4 juta), Selangor (1.26 juta), Pulau Pinang (1.2 juta), Terengganu (922,856) dan Negeri Sembilan (850,865).

Dianggarkan 86,313 pengundi awal di keenam-enam negeri tersebut yang merangkumi anggota tentera dan polis serta pasangan masing-masing seperti direkodkan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) November tahun lalu.

Namun jumlah itu tidak termasuk pengundi dalam kalangan para pekerja dan pelajar yang tinggal di negeri lain termasuk Lembah Klang, Sabah dan Sarawak dengan Kelantan sahaja dipercayai mempunyai kira-kira 200,000 pengundi berada di perantauan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN