PRN 6 negeri medan PH, BN uji penerimaan orang Melayu

PRN 6 negeri medan PH, BN uji penerimaan orang Melayu

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan akan teruji pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi akan menjadi medan untuk menguji penerimaan orang Melayu terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) terutamanya di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Sebaliknya, Perikatan Nasional (PN) pula dilihat menjadikan pilihan raya tersebut untuk ‘test market’ mereka di kawasan bandar dan luar bandar di tiga negeri lain iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Azmi Hassan berkata, tujuan kedua-dua pihak berbuat demikian adalah satu iaitu untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Menurutnya, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan akan melihatkan status quo di mana PN akan mengekalkan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala PH terus mentadbir Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Saya melihat pilihan raya itu sebagai referendum kerajaan perpaduan sama ada diterima di negeri majoriti Melayu di bawah Pas manakala PN pula mahu membuktikan kerajaan perpaduan ditolak orang Melayu,” katanya.

Jelas beliau, PN kini memiliki kekuatan dalam kalangan orang Melayu disebabkan UMNO dilihat tertekan dan kadangkala tidak efektif dalam memperjuangkan isu Melayu dan Islam.

“Ya betul PN memiliki kekuatan, kenapa? Kerana selama enam tujuh bulan gabungan kerajaan perpaduan dibentuk, UMNO dilihat begitu tertekan dan kadangkala tidak efektif untuk menongkah arus kekuatan pengaruh DAP dan isu kalimah Allah ini dikatakan kemuncaknya.

“Walaupun penerangan sudah diberi Perdana Menteri mengenai kenapa rayuan itu ditarik balik, masalahnya Pas telah memainkan isu ini.

“Jadi ini persepsi yang dibuat bahawa kerajaan perpaduan walaupun ada Amanah (Parti Amanah Negara) dan UMNO tetapi tidak dapat mempertahankan kepentingan orang Melayu dan kedaulatan Islam,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berpendapat trend pengundi pada PRN kali ini tidak boleh dilihat berdasarkan keputusan PRU-15.

Jelasnya, pemboleh ubah politik dalam tempoh lima bulan pembentukan kerajaan perpaduan memberi gambaran berbeza terhadap gabungan parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai contoh, saya melihat kehadiran UMNO dalam kerajaan perpaduan adalah sebagai meneutralkan persepsi negatif terhadap PH.

“Isu orang Melayu ditangani dengan baik oleh kerajaan perpaduan jadi tuduhan bahawa hak orang Melayu diabai tidak boleh dimainkan oleh pembangkang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu semasa yang menimpa PN terutamanya apabila pemimpin utamanya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dituduh di mahkamah berkaitan isu penyelewengan juga mengubah persepsi orang Melayu terhadap gabungan berkenaan.

Tegasnya, perkara tersebut boleh mempengaruhi pengundi untuk membuat pilihan pada PRN depan.

“Bagaimanapun, UMNO ada peluang 50-50 untuk menawan Kedah kerana saya menjangkakan ‘turn out’ pada PRN kali ini agak rendah disebabkan ia mungkin akan diadakan selepas raya Aidiladha.

“Jika perkara itu berlaku, UMNO ada peluang yang cerah kerana memiliki ‘fix deposit’ di negeri berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×