KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menafikan terdapat akuan bersumpah (SD) 126 Ahli Parlimen menyokong gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan terus fokus menjadi pembangkang yang istiqamah sambil menyusun strategi untuk menang pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Kita memang ada 74 (kerusi) dan kita istiqamah, kita perlu jalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa dan itu yang akan teruskan,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, hari ini.
Faizal dalm masa yang sama turut menafikan wujud SD untuk melantik ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai perdana menteri baharu.
“Saya tak fikir begitu, saya percaya itu tidak berlaku. Kita dalam semangat Syawal hari ini, tak perlu fikir sangat. Mari fokus beri khidmat kepada rakyat, eratkan silaturahim dalam bulan Syawal, itu yang perlu kita buat.” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berkata, pertukaran kerajaan dan pimpinan pusat bukan perkara luar biasa kerana ia dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, ia boleh berlaku jika sesebuah kerajaan itu dirombak atau tidak lagi memenuhi aspirasi rakyat.
“Inilah keluhan rakyat kali ini, apabila kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 tidak mampu selesaikan isu kos sara hidup dan ekonomi, mereka lebih banyak bercakap daripada bertindak.” jelasnya lagi. – UTUSAN