PM bangga sumbangan Wisma Putra tingkat imej Malaysia di dunia

PM bangga sumbangan Wisma Putra tingkat imej Malaysia di dunia

ANWAR Ibrahim diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir beramah mesra dengan duta asing pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Luar yang berjaya dalam mengangkat imej negara di persada dunia.

Malah, beliau bangga dengan gerak kerja kementerian itu sejak lebih enam bulan menyandang jawatan antaranya menerima laporan lengkap daripada pihak Wisma Putra sebelum lawatannya ke luar negara yang melibatkan 10 negara setakat ini.

“Cara kerja anda semua melebihi jangkauan saya termasuk penyediaan nota rujukan yang amat menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Majlis Hari Raya Wisma Putra 2023, di sini hari ini

Anwar ketika berucap turut mengimbau lawatannya ketika memulakan lawatan pertama ke luar negara setelah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dengan bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo di Jakarta pada 8 dan 10 Januari lalu yang merupakan tradisi diamalkan kesemua pemimpin negara ini sejak merdeka.

Ia kerana kedudukan republik jiran itu yang juga adalah negara terbesar di rantau Asia Tenggara selain atas faktor perkongsian sejarah serta persamaan budaya dan bahasa.

Ini diikuti dengan lawatan ke Brunei dari 24 dan 25 Januari menghadap Sultan Hassanal Bolkiah sebelum ke Singapura pada 30 Januari untuk berjumpa Presiden Halimah Yacob.

Ini disusuli pula dengan ke Thailand (9 hingga 10 Februari), Filipina (1 hingga 2 Mac), Arab Saudi (22 hingga 24 Mac) Kemboja (27 Mac) dan China (29 Mac hingga 1 April).

Kesemua lawatan berkenaan atas undangan pemimpin negara masing-masing, namun kunjungan Anwar ke Turkiye dari 14 hingga 15 Februari disifatkannya sebagai amat unik kerana bukan sahaja atas pelawaan peribadi Presiden Recep Tayyip Erdogan, namun dilakukan secara mengejut ekoran tragedi bencana gempa melanda negara itu.

Program terakhir beliau di luar negara ialah menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan beberapa mesyuarat serantau lain di Labuan Bajo, Indonesia pada 10 dan 11 Mei lalu.

“Saya cukup gembira atas gerak kerja anda di Wisma Putra begitu profesional dan begitu juga petugas di kedutaan kita yang sentiasa efisien serta amat dedikasi,” tambah beliau.

Justeru, Anwar melahirkan perasaan optimis dengan khidmat dicurahkan setiap staf di kementerian itu yang berjaya mempromosikan imej Malaysia Madani di seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya