PETALING JAYA: Perkhidmatan rel KLIA Ekspres dan KLIA Transit digantung awal pada pagi tadi ekoran masalah teknikal.
Menurut hebahan Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) dalam akaun Twitter, mereka memohon maaf di atas kesulitan tersebut.
“Disebabkan masalah teknikal, semua perkhidmatan kereta api kini digantung. Sila semak status perkhidmatan di Kaunter Tiket kami, di Twitter atau Facebook.
“Sila cari mod pengangkutan alternatif untuk pemindahan lapangan terbang atau ulang-alik anda. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” kata hantaran itu.
Bagaimanapun operasi kedua-dua perkhidmatan itu telah kembali normal pada tengah hari.
Menurul ERL, KLIA Transit kini beroperasi mengikut jadual biasa bermula dari pukul 12.33 tengah hari dari KL Sentral dan dari 12.18 tengah hari dari KLIA T2.
“KLIA Ekspres kini beroperasi mengikut jadual biasa bermula dari 12.20 tengah hari dari KL Sentral, dan dari 12.15 tengahari dari KLIA T2. Terima kasih atas pemahaman dan kesabaran anda,” kata ERL. – UTUSAN










