KOTA BELUD: Percutian sekumpulan pelancong warga China berakhir menjadi tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda di perairan Pulau Mantanani hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengahari itu, mangsa lelaki warga China, Shuwen Liang, 27, ditemukan terapung semasa sedang bermandi-manda di perairan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.13 petang iaitu selepas mayat mangsa tiba di jeti Kampung Rampayan di sini.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai mangsa lemas di laut Pulau Mantanani yang berada pada jarak 27 kilometer dari jeti Kampung Rampayan.
“Semasa tiba di jeti Rampayan, mangsa dikatakan telah diberi bantuan pernafasan kecemasan oleh anggota penyelamat (life guard) semasa berada di pulau berkenaan.
“Walau bagaimanapun, sebaik sahaja mangsa tiba di jeti Rampayan setelah 45 minit perjalanan menaiki bot, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.15 petang tadi,” katanya.
Menurut beliau, mangsa datang ke Sabah bersama ahli keluarganya untuk bercuti bersama ahli keluarga yang lain namun, tidak dapat dipastikan berapa lama mangsa akan berada di Sabah.- utusan