Perak tubuh jawatankuasa khas isu tanah rizab Melayu di Sitiawan - Utusan Malaysia

Perak tubuh jawatankuasa khas isu tanah rizab Melayu di Sitiawan

SAARANI Mohamad pada sidang DUN Perak di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak menubuhkan ja­wa­tankuasa khas dan melaksanakan beberapa tindakan berhubung isu tanah rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan dikatakan berpindah milik kepada bukan Melayu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara langkah awal ialah me­lakukan sekatan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar bagi kesemua tanah yang terlibat untuk menghalang sebarang transaksi atau pindah milik.

Menurutnya, sekatan melalui Kaveat Pendaftar turut dilakukan bagi lot-lot lain yang terlibat projek pembangunan khususnya di Sitiawan 2.

“Kemasukan Kaveat Pendaftar ini bertujuan supaya sebarang pindah milik selepas ini hanya dibenarkan kepada orang Melayu agar Seksyen 6 Enakmen Rizab Melayu dapat dikuatkuasakan iaitu mengembalikan semula status tanah berkenaan sebagai Tanah Rizab Melayu Pegangan Melayu.

“Malah ada sebahagian ta­nah di kawasan itu telah dikembalikan status kepada Tanah Rizab Melayu Pegangan Melayu.

“Misalnya pembangunan di Lot 16684 yang dipecahkan kepada GRN 166179 Lot 74524 berjumlah 993 hektar bagi pembangunan 9,523 unit rumah. Daripada jumlah itu, sebanyak 9,152 (95 peratus) unit rumah dijual kepada orang Melayu dan dimasukkan endorsan Kemasukan Rizab Melayu,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.

Jelasnya, kerajaan ne­geri memutuskan sebarang penjualan lot pembangunan di Sitiawan 2 selepas ini hendaklah 100 peratus kepada orang Me­layu.

Beliau berkata, ini bermakna pemilikan aset dan hakmilik Tanah Rizab Melayu Pegangan Melayu di kawasan itu akan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Katanya, kerajaan negeri melalui PTG juga melaksanakan proses pemutihan dengan menyemak dan menilai semula kriteria sedia ada untuk syarikat-syarikat yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga Enakmen Rizab Melayu bagi permohonan pemberimilikan tanah.

Jelasnya, mana-mana syarikat yang didapati sudah tidak memenuhi sifat dan kriteria sebagai syarikat Melayu, akan dikeluarkan daripada senarai Jadual Ketiga Enakmen Rizab Melayu.

“PTG menyediakan prosedur bagi mengetatkan syarat-syarat untuk sebarang pemberimilikan melalui Seksyen 7 Enakmen Rizab Melayu bagi tanah-tanah berstatus rizab Melayu. Hanya yang berkelayakan dan menepati syarat digariskan dalam Seksyen 2 Enakmen Rizab Melayu boleh dipertimbang membuat permohonan.

“Kerajaan negeri melalui PTG mengadakan rundingan dengan pemilik tanah termasuk pemaju supaya tanah-tanah yang dimiliki sama ada melibatkan kawasan di Sitiawan 2 atau di tempat lain diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu. Hasilnya, setakat ini, sejumlah 183.3 hektar telah dikenal pasti oleh PTG untuk diwartakan setelah mendapat persetujuan pemilik tanah yang membangunkan kawasan tersebut,” katanya.

Saarani berkata, isu itu me­nimbulkan kekeliruan, malah ada yang mengambil kesempatan menjadikan ia isu politik berbaur perkauman dan agama selepas rakaman video sidang akhbar beliau mengenai penjelasan beliau berhubung isu Ta­nah Rizab Melayu di Sitiawan itu telah disunting sehingga maksud sebenar yang cuba di­sampaikan telah disalah erti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya