PASIR SALAK: Harga getah murah dan ditambah pokok diserang penyakit meruntun semangat penoreh untuk terus mengusahakan tanaman komoditi itu.
Itu yang menimpa penoreh di Kampung Orang Asli Pahlawan, Langkap dekat sini apabila kebanyakan pokok getah di situ diserang penyakit iaitu daun berwarna kuning, layu dan gugur.
Akibat masalah yang berlarutan dua tahun lalu, ada antara penoreh yang tidak lagi ke kebun sebaliknya mencari pendapatan lain dengan bekerja di ladang kelapa sawit berdekatan.
Seorang penoreh Orang Asli yang dikenali Arit berkata, dia telah mencuba pelbagai cara untuk mengubati penyakit pokok getahnya tetapi tidak berkesan.
Katanya, berdasarkan pengalamannya sebagai penoreh sejak berpuluh tahun, daun pokok getah hanya gugur mengikut musim atau cuaca dan daun gugur tidak berlaku secara berterusan seperti sekarang.
Katanya, ini menyebabkan hasil torehan mereka merosot lebih 20 peratus berbanding jika pokok getah tidak berpenyakit.
“Penyakit yang menyerang pokok getah di sini tidak pernah berlaku sebelum ini dan berkemungkinan berpunca daripada cuaca tidak menentu, iaitu cuaca panas berpanjangan dan jika hujan, hujan berterusan.
“Ini menyebabkan pucuk daun baharu yang keluar sekejap, tidak tahan lama pasti gugur sebelum cukup matang.
“Sebelum pokok diserang penyakit, susunya banyak penuh tetapi sekarang hendak dapat setengah bekas pun susah, susu tidak berapa elok seperti cair,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, penoreh di sini berharap masalah itu mendapati perhatian daripada pihak yang berkenaan untuk diatasi untuk pokok getah yang sudah berusia tujuh tahun itu dapat mengeluarkan hasil yang sepatutnya.
Katanya, jika keadaan itu berterusan adalah tidak berbaloi penoreh turun menoreh pukul 4 pagi selain harganya yang rendah.
“Jika dibiarkan, pokok akan bertambah rosak, ini sudah tentu merugikan kami.
“Jika keadaan berterusan, tidak mustahil kami menukar tanaman getah kepada kelapa sawit,” katanya. – UTUSAN











