Penoreh mahu harga getah ditetapkan lebih RM3 sekilo

Penoreh mahu harga getah ditetapkan lebih RM3 sekilo

ZURAIDAH TAM memungut getah beku untuk dijual di sebuah kebun milik orang di Kampung Sungai Rengit, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penoreh dan pekebun getah di negeri ini meminta kerajaan menetapkan harga getah pada RM3 atau RM4 sekilogram dan bukannya RM2.70 seperti yang dilaksanakan ketika ini selaras dengan pengumuman Belanjawan 2023 pada 24 April lalu.

Ini kerana kata mereka, harga lantai getah RM2.70 sekilogram masih tidak menjamin keselesaan pendapatan serta perbelanjaan memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan, Pertubuhan Pekebun Kecil Pahang, Anuar Mustakim, 59, berkata, kira-kira 5,000 orang pekebun kecil dan penoreh getah negeri ini berharap kerajaan dapat memenuhi tuntutan mereka menaikkan harga komoditi itu antara RM3 hingga RM4.

“Hari ini, kita lihat penoreh getah antara yang terkesan akibat kejatuhan harga getah ditambah pula dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak dari penghujung tahun lalu apabila berdepan Monsun Timur Laut dan kini cuaca panas sehingga mengurangkan hasil susu.

“Purata mereka bekerja menoreh antara 10 hingga 12 hari dalam sebulan dan memperoleh antara 200 hingga 300 kilogram sahaja serta langsung tidak cukup untuk berbelanja lebih-lebih lagi penoreh yang bekerja di kebun getah milik orang lain,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kenaikan harga getah itu telah dilaksanakan setelah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, Anuar berharap, cadangan Pertubuhan Pekebun Kecil Pahang untuk menaikkan harga antara RM3 hingga RM4 disegerakan bagi jaminan pekebun dan penoreh getah sekurang-kurangnya dapat meringankan beban belanja dapur, persekolahan dan membeli ubat bagi kalangan warga emas.

Beliau juga hairan kenapa Malaysia tidak mewujudkan banyak industri bersumberkan hasil getah memandangkan negara ASEAN yang lain seperti Vietnam dan Thailand sudah mengorak langkah ke hadapan dalam sektor pembuatan berasaskan getah.

“Harga yang pertubuhan ini cadangkan sangat relevan untuk meringankan tekanan penoreh getah luar bandar yang kebanyakannya bergantung hasil komoditi berkenaan termasuk sawit sebagai perbelanjaan sara hidup keluarga dan pembiayaan lain,” katanya.

Sementara itu, penoreh getah Kampung Bukit Rang, Mohd. Rozi Mohd. Sood, 64, berkata, harga lantai tersebut belum menjamin keselesaan pendapatan penoreh getah luar bandar khususnya bagi mereka yang menoreh getah di kebun milik orang.

“Sejak musim kemarau ini, purata kami boleh keluar bekerja hanya 15 hari sebulan, kadang-kadang diganggu dengan hujan pada sebelah petang dan malam, jadi kami cuma memperoleh hasil antara 100 hingga 200 kilogram dalam tempoh berkenaan dan setelah getah dijual dibahagi dua dengan pemilik kebun dan itulah upah yang kami peroleh untuk menyara keluarga.

“Penoreh getah juga berdepan masalah kekurangan susu getah akibat panas berpanjangan dan boleh mengurangkan pendapatan dalam tempoh ini. Harga lantai RM2.70 masih tidak sepadan menampung keadaan kenaikan harga barang dan sebagainya,” katanya ketika ditemui.

Penoreh getah Orang Asli etnik Jahut Kampung Sungai Rengat, Zuraidah a/p Tam, 40, pula berkata, dia cuma menjengah kebun getah sejak awal bulan lalu disebabkan keadaan cuaca tidak menentu sejak Januari lalu.

“Sejak bulan lalu dan sehingga ini cuma 10 hari saya dapat menoreh berikutan hujan tidak menentu, cuaca panas melampau juga mengganggu kerja harian dan hasil pula kurang.

“Senario harga getah merudum menjejaskan pendapatan kira-kira 50 penduduk Orang Asli di beberapa kampung berdekatan sejak lebih lima tahun lalu yang bergantung rezeki mengambil upah menoreh di kebun milik orang, cuma segelintir mempunyai taraf pemilikan getah sendiri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN