KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur berjaya mematahkan kegiatan pengedaran dadah jenis ekstasi dan erimin 5 dengan merampas sejumlah dadah bernilai RM3.2 juta.
Kesemua bekalan dadah itu berjaya ditemukan selepas pihak polis memberkas seorang penjual ikan menerusi tiga serbuan di Lembah Klang, pada 18 Mei lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan pertama yang dilakukan kira-kira pukul 8.20 sehingga 10.40 malam itu, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berjaya menahan seorang lelaki tempatan di kawasan Selayang.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan suspek menemukan 10 biji pil ekstasi yang disembunyikan dalam beg silang yang dipakai oleh suspek.
“Susulan daripada tangkapan itu, serbuan kedua telah dijalankan dan berjaya menemukan pil ekstasi dan pil erimin 5 dengan anggara 20 kilogram (kg) yang diletakkan di dalam bonet kenderaan Mercedes Benz milik suspek yang diparkir di tempat letak kereta dalam bangunan kondominium sama.
“Berpandukan suspek, serbuan ketiga juga telah dilakukan ke atas sebuah rumah di Batu Caves, Selangor yang dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan dadah erimin 5 itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, hasil pemeriksaan tersebut, sejumlah pil erimin 5 dengan anggaran 57 kg telah ditemukan.
Ujar beliau, modus operandi kegiatan pengedaran dadah kali ini adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari luar negara dan menjadikan kenderaan mewah serta rumah kediamannya sebagai stor simpanan.
“Kesemua dadah berkenaan akan diserahkan kepada penghantar atau ‘runner’ untuk diedarkan kepada pengguna di sekitar Lembah Klang.
“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan tiada rekod lampau,” jelasnya.
Tambah beliau, suspek dipercayai mula terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ini sejak awal tahun lalu.
“Suspek berusia 41 tahun ini akan direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.
“Dalam operasi ini juga, kita juga berjaya merampas wang tunai RM21,000, dua kereta jenis Mercedez Benz dengan nilai semasa RM350,00 dan sebuah kereta jenis Perodua Alza bernilai RM40,000,” ujarnya.
Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 25,000 orang.
“Polis Kuala Lumpur khususnya JSJN akan terus berusaha mengekang aktiviti dadah dari terus berleluasa di Kuala Lumpur.
“Warga kota terus menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan aktiviti dadah dan lain-lain jenayah bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi bandaraya selamat,” katanya. – UTUSAN