Peniaga resah MPK mahu roboh gerai

Peniaga resah MPK mahu roboh gerai

GAN Ay Ling (kanan) berbincang dengan peniaga yang resah apabila gerai mereka dikatakan akan dirobohkan untuk tujuan baik pulih di pasar borong Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Peniaga di lima buah gerai di pasar borong Kangar di sini resah apabila premis perniagaan mereka bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada proses naik taraf di kawasan berkenaan.

Perkembangan tersebut turut menggusarkan peniaga terlibat memandangkan mereka baru sahaja mengeluarkan modal sendiri bagi menambah baik premis berkenaan sejak setahun lalu. 

Seorang peniaga ikan, Mansor Abdullah, 58, berkata, sebelum ini, peniaga telah menambahbaik premis itu dengan wang sendiri bagi membaik pulih sistem pendawaian dan lantai gerai berkenaan yang berada dalam keadaan tidak sempurna.

“Kami mengeluarkan kos sekitar RM2,000 ke RM3,000 bagi melaksanakan proses baik pulih itu dan tiba-tiba Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mahu meroboh gerai ini atas alasan ingin melakukan penambahbaikan.

“Sudah semestinya perkara ini menimbulkan keresahan peniaga di sini memandangkan kami baharu sahaja berniaga di premis ini setahun lalu,” katanya.

Sementara itu, peniaga santan, Pilus Arop, 70, berkata, kelima-lima peniaga berhampiran pasar borong membantah tindakan perobohan berkenaan kerana ia akan menyukarkan operasi perniagaan mereka walaupun ditempatkan di lokasi sementara.

Katanya, lokasi sementara itu juga belum diketahui sama ada mempunyai sumber bekalan elektrik memandangkan pihaknya bergantung kepada tenaga itu bagi membolehkan mesin pemprosesan santan beroperasi setiap hari.

“Disebabkan itu peniaga sebolehnya tidak mahu gerai ini dirobohkan terlebih dahulu sebelum perbincangan menyeluruh dijalankan bersama MPK,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga sayur, Cheah Hwa San, 60, pula berkata, menerusi perbincangan bersama MPK pada 8 Mei lalu, peniaga sememangnya tidak bersetuju gerai-gerai ini dirobohkan sehingga perbincangan secara menyeluruh selesai dilaksanakan.

Mengulas mengenai permasalahan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, MPK perlu ada perancangan menyeluruh sebelum melaksanakan operasi perobohan itu bagi memastikan tiada mana-mana peniaga terjejas.

Katanya, beliau juga akan memohon sesi dialog diadakan antara MPK dan peniaga terlibat bagi membolehkan isu perobohan itu dapat dibincangkan semula secara teliti. 

“Saya faham usaha dilakukan MPK ini adalah satu inisiatif yang baik namun mereka harus ada perancangan yang lengkap di samping cuba memenuhi keperluan peniaga,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN