PETALING JAYA: Seorang pengasuh wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian bayi perempuan berusia tiga bulan di rumahnya di Sungai Way di sini, pada 9 Mei lalu.
Satu laporan telah dibuat oleh bapa mangsa pada 3.56 petang hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bertindak atas maklumat, seorang wanita berusia 31 tahun telah ditahan pada 13 Mei lalu di kediamannya di Petaling Jaya.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan pengabaian terhadap bayi berusia tiga bulan di kediamannya sehingga menyebabkan kematian.
“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai diambil keterangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, siasatan diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 0379662222,” jelasnya.
Semalam, bapa pasangan kembar, Abdur Rahman Abdullah reda kehilangan anak berusia hampir empat bulan yang meninggal dunia di rumah pengasuh, 9 Mei lalu.
Lebih memilukan apabila adik kepada bayi itu terlebih dahulu meninggal dunia di hospital ketika berusia sembilan hari disebabkan masalah pendarahan dalam otak. – UTUSAN