PETALING JAYA: Golongan pemimpin lama yang terlibat dengan spekulasi berhubung usaha menumbangkan Kerajaan Perpaduan hanya dilihat sebagai perosak kestabilan politik negara.
Justeru, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pemimpin muda tidak boleh bertindak dan mengikut rentak pemimpin lama yang dilihat sibuk mencatur politik dalam meraih kuasa.
Kata beliau, spekulasi untuk menumbangkan kerajaan pada masa ini yang terus wujud hanya memberi kesan dan persepsi negatif rakyat terhadap semua pemimpin politik termasuk golongan muda.
“Jangan biarkan rakyat benci orang politik. Maka orang muda perlu ubah pendirian. Kita tidak boleh nampak hendak terlalu berpolitik. Rakyat sudah muak.
“Bayangkan kita telah tukar tiga perdana menteri dalam tempoh singkat. Jangan sampai rakyat hukum orang politik.Orang muda tak boleh berperangai macam orang lama. Kami yang muda, kita tidak mahu apabila generasi kami ambil alih, rakyat sudah tidak percaya orang politik,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Muhamad Akmal turut berharap lebih banyak calon orang muda ditampilkan dalam PRN yang diadakan di enam negeri nanti bagi memastikan sokongan daripada golongan tersebut mampu diraih UMNO.
Sebelum ini terdapat dakwaan membabitkan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan memiliki SD dengan memberikan sokongan majoriti kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menjadi Perdana Menteri Baharu.
Difahamkan, surat akaun itu melebihi 120 jumlah Ahli Parlimen dan akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Malah, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman dilaporkan turut memberi bayangan gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan yang dikatakan turut diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan.
Beliau menyifatkan angka ‘126’ yang dimuat naik dalam satu hantarannya di Facebook baru-baru ini sebagai signifikan sehingga mencetuskan kemarahan penyokong Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, beliau berkata, permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibuat UMNO tidak memberi kesan kepada parti itu bagi meraih sokongan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, permohonan tersebut adalah wajar bersandarkan beberapa faktor serta bukan satu paksaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Setiap rakyat Malaysia berhak mendapatkan pengampunan diraja. Cuma ia tertakluk pada budi bicara Agong. Kalau dilihat, PKR sebelum PRU14 pun sudah dua kali mohon pengampuan diraja untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selepas itu, PRU14 PKR menang.
“Justeru, saya tidak rasa ia bebanan. Lagipun, tiada dalam Perlembagaan Persekutuan kata seseorang itu perlu duduk dalam penjara dua tahun baru boleh memohon pengampunan,” katanya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini sebulat suara untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh untuk Najib. – UTUSAN










