Pembangkang perlu bersikap matang, rasional - Utusan Malaysia

Pembangkang perlu bersikap matang, rasional

dewan rakyat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Usaha berterusan menjatuhkan pentadbiran negara akan menjejaskan fokus kerajaan semasa untuk memulihkan ekonomi negara.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, usaha menukar kerajaan menerusi pintu belakang masih diteruskan oleh pemimpin-pemimpin politik tertentu, sama ada secara pro­paganda, provokasi atau dengan memainkan sentimen.

Beliau berkata, sekiranya ini berlanjutan ia bukan sahaja akan menyebabkan ketidakstabilan politik negara, bahkan pelabur tidak yakin untuk datang melabur ke negara ini.

“Keadaan ini akan menjejaskan fokus kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara. Oleh sebab itu pihak pembangkang perlu lebih realistik dan rasional dalam hal ini.

“Sekiranya mereka benar-benar mempunyai jumlah atau nombor, iaitu bilangan ahli Parlimen yang menyokong yang dikehendaki, mereka perlu bawa ke Dewan Rakyat untuk undi tidak percaya.

“Namun jika mereka tidak mempunyai jumlah yang diperlukan dan tidak berkeupayaan atau jika kedudukan mereka lemah maka lebih baik mereka tunggu sahaja sehingga akhir penggal untuk bertan­ding dalam pilihan raya secara demokrasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berharap tidak akan ada lagi gerakan menggunakan pintu belakang untuk kali yang kedua menumbangkan kerajaan.

Tambahnya, apa yang lebih ‘keanak-anakan’ dalam politik negara ialah kewujudan kelompok yang sibuk hendak me­numbangkan kerajaan.

Katanya, kumpulan itu terdiri daripada ahli-ahli politik lama yang sudah menjadi ahli Parlimen empat ke lima penggal yang tidak mampu memberi laluan dan peluang kepada orang muda untuk menjadi pemimpin.

“Sepatutnya daripada mereka sibuk mahu menjatuhkan dan memburukkan kerajaan, mereka sepatutnya membuka ruang dan peluang kepada orang muda di dalam parti mereka untuk menjadi pemimpin kerana kita harus ada pemimpin pelapis.

“Tidak perlulah pemimpin-pemimpin lama yang sudah lima penggal menjadi wakil rakyat merajuk dan tidak mahu memberi laluan kepada orang muda.

“Ini merupakan situasi politik yang tidak sihat di negara kita.

“Sepatutnya mereka yang sudah lama memegang jawatan patut memberi laluan kepada orang muda, dan jangan pula apabila diganti orang muda, mereka memprotes dan mensabotaj,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN