SHAH ALAM: Lebih 1,000 penduduk Kampung Jawa, Klang mendesak campur tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di kawasan perumahan mereka.
Presiden Persatuan Kebangsaan Nambikkai Malaysia, Datuk Dr. Kalai Vanar berkata, isu tersebut berlarutan sejak lapan tahun dan masih tergantung tiada penyelesaian sehingga hari ini.
“Dalam satu perjumpaan di sebuah hotel di Klang pada tahun lalu, (pegawai) pentadbir tanah memaklumkam borang H (pemberitahu pemberian dan tawaran pampasan) akan dibatalkan dan digantikan dengan borang LC (pengambilan tanah) atas alasan penilai tanah hendak membuat penilaian baharu ke atas kawasan tanah penduduk terlibat.
“Ini sangat mengejutkan kerana borang H yang dipersetujui dibatalkan secara tiba-tiba. Jadi, saya mengesyaki berlakunya komplot penipuan antara pentadbir tanah dengan WCE (WCE Holdings Berhad) bagi mengelak membayar pampasan tanah,” katanya.
Dia ditemui selepas menyerahkan memorandum memohon Menteri Besar bersama lebih 30 penduduk yang berhimpun secara aman di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) bagi menggesa campur tangan Amirudin terhadap isu tersebut.
Sekumpulan penduduk itu berhimpun sejak pukul 2.30 petang sebelum memorandum berkenaan diserahkan kepada Pegawai Tadbir Pejabat Menteri Besar Selangor, Shahril Saad.
Kalai menjelaskan, kawasan penduduk yang terlibat dalam pembinaan lebuhraya dianggarkan berkeluasan 7.8 hektar, iaitu melibatkan lebih 200 buah rumah penduduk.
“Saya amat berharap Menteri Besar ambil tindakan segera terhadap isu ini kerana ini melibatkan tempat berteduh penduduk. Kalau mahu ambil tanah penduduk sekalipun, pihak WCE sepatutnya membuat bayaran pampasan yang sewajarnya,” tegasnya.
Sementara itu, seorang penduduk, V. Vicknesvary, 43 meluahkan rasa kesal dengan tindakan dilakukan oleh pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) (JKPTG) Selangor dan WCE yang dilihat enggan membayar pampasan kepada penduduk.
Menurutnya, kedua-dua pihak itu sebelum ini berjanji untuk membayar pampasan sewajarnya kepada penduduk.
“Tiba-tiba, JKPTG ambil keputusan untuk batalkan borang H dan mahu gantikan dengan borang LC. Ini tak patut berlaku, saya ada geran tanah malah membayar cukai kepada kerajaan negeri,” luahnya. – UTUSAN










